Baginda Sultan berkenan utus tahniah

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Raja Thailand, Kebawah Duli Yang Maha Mulia King Maha Vajiralongkorn Phra Vajiraklaochaoyuhua, Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral (B) Prayuth Chan-o-cha, kerajaan dan rakyat Thailand bersempena dengan Hari Kebangsaan negara tersebut.

Di dalam titah perutusan kepada KDYMM King Maha Vajiralongkorn Phra Vajiraklaochaoyuhua, Baginda Sultan amat menghargai hubungan bernilai yang sekian lama wujud di antara kedua-dua negara yang banyak membawa kemanfaatan kerjasama di pelbagai bidang dan berharap untuk terus memperkukuhkan lagi persahabatan yang sangat penting dan berharga ini bagi kepentingan kedua-dua buah negara dan rantau ini.

Sementara dalam titah perutusan kepada TYT Jeneral (B) Prayuth Chan-o-cha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia sangat menghargai kerjasama dan persahabatan yang sekian lama terjalin di antara kedua-dua buah negara dan berharap dapat mengukuhkan persahabatan yang sangat bernilai ini, baik di peringkat dua hala dan sebagai rakan dalam ASEAN.

Baginda seterusnya mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama di atas kejayaan Thailand mempengerusikan sidang kemuncak ASEAN dan seterusnya mengucapkan terima kasih di atas layanan yang baik yang diberikan kepada Baginda dan ahli rombongan semasa menghadiri mesyuarat berkenaan.

Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan salam muhibah kepada KDYMM King Maha Vajiralongkorn Phra Vajiraklaochaoyuhua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Queen Suthida serta kerabat diraja dan semoga Baginda berdua sentiasa dalam kegembiraan dan kesihatan yang berpanjangan.

Begitu juga kepada TYT Jeneral (B) Prayuth Chan-o-cha dan Naraporn serta rakyat Negara Thailand berada dalam kegembiraan menyambut hari perayaan tersebut.