Wednesday, October 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baginda Sultan sentiasa prihatin kesejahteraan, keperluan pelajar

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Muiz Matdani, Sim Y.H. & Infofoto

    TUTONG, 2 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa mengambil perhatian berat kepada kesejahteraan dan keperluan pelajar-pelajar sekolah.

    Perhatian tersebut termasuk memastikan para pelajar mendapat pendidikan yang menyeluruh yang tidak hanya menumpukan kepada pencapaian akademik sahaja tetapi juga merangkumi kemahiran kehidupan, daya kreativiti serta keyakinan diri yang tinggi dengan ilmu pengetahuan agama yang menjadi cara hidup mereka.

    Baginda amat prihatin mengenai pentingnya penekanan tidak hanya tertumpu kepada pendidikan sekolah konvensional tetapi juga amat mengambil berat mengenai perkembangan serta kesejahteraan pelajar-pelajar pendidikan agama dan juga pendidikan di sekolah-sekolah Arab.

    Dalam hubungan itu, Baginda Sultan menerusi kerajaan Baginda menyediakan prasarana serta kemudahan yang kondusif kepada pembelajaran pelajar-pelajar untuk memastikan bahawa mereka dapat belajar dalam keadaan selesa dan selamat.

    Baginda Sultan, hari ini, berkenan mengadakan lawatan di dua buah institusi pendidikan iaitu sebuah sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah, Sekolah Menengah Muda Hashim, Jalan Sungai Besar Tutong dan Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai dengan guru dan kakitangan Sekolah Menengah Muda Hashim.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima junjung ziarah daripada guru dan pelajar Sekolah Menengah Muda Hashim.
    Baginda Sultan berkenan melancarkan produk keropok ikan Satu Kampung Satu Produk MPK Penabai-Kuala Tutong.
    ATAS & BAWAH : Baginda Sultan ketika berkenan beramah mesra bersama para pelajar dan berkesempatan meninjau kemudahan yang terdapat di Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai.

    Baginda Sultan diberikan sembah penerangan semasa berkenan melawat ke Perusahaan Seri Melati.
    Baginda Sultan berkenan mendengarkan sembah penerangan semasa berkenan melawat ke MPK Penabai-Kuala Tutong.
    Baginda Sultan berkenan menyaksikan hasil kerja salah seorang pelajar di Sekolah Menengah Muda Hashim.

    Baginda Sultan memulakan lawatan dengan meninjau kemudahan yang terdapat di Sekolah Menengah Muda Hashim, Jalan Sungai Besar Tutong dan dalam lawatan berkenaan, Baginda diberikan sembah penerangan oleh Pengetua sekolah berkenaan, Haji Mohd Saiful Bahrin bin Haji Sabli.

    Semasa lawatan Baginda berkenan menyaksikan dengan lebih dekat pembelajaran dan kemudahan yang terdapat di sekolah yang mula ditubuhkan pada 1967 di mana pada 1971 hingga 1983, sekolah itu dinamakan Sekolah Menengah Melayu Muda Hashim Tutong (aliran Melayu) dan pada 1984, nama sekolah ditukar kepada Sekolah Menengah Muda Hashim (aliran Inggeris).

    Baginda turut berkenan dijunjung untuk menyaksikan dengan lebih dekat pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah menengah berkenaan di mana para pelajar diberikan pendidikan bukan sahaja dalam bidang akademik khususnya membaca, mengeja dan mengira tetapi juga dari segi kreativiti dan kemahiran hidup.

    Sekolah itu turut menekankan pembangunan jati diri dan keperibadian penuntut secara menyeluruh di mana para penuntut berpeluang untuk menyertai dan mempelajari pelbagai kemahiran hidup menerusi penyertaan mereka dalam kegiatan-kegiatan kokurikulum, pasukan-pasukan beruniform dan kelab-kelab penuntut.

    Baginda juga berkenan beramah mesra bersama murid-murid serta guru-guru sekolah berkenaan.

    Sekolah itu mempunyai sebanyak 636 orang penuntut yang mengikuti pembelajaran dari Tahun 7 hingga peringkat Pra Vokasional.

    Baginda Sultan kemudian meneruskan lawatan ke Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai di mana Baginda berkenan menerima junjung ziarah daripada guru, murid-murid dan kakitangan sekolah berkenaan.

    Semasa lawatan berkenaan, Baginda diberikan sembah penerangan oleh guru besar sekolah berkenaan, Dayang Rosimah binti Haji Mohamad.

    Sekolah dengan moto ‘Meraih Kecemerlangan Bersama’ itu mempunyai seramai 166 orang murid dari Pra hingga Tahun 6 dengan tenaga pengajar seramai 25 orang dan tujuh orang kakitangan sekolah.

    Bangunan lama sekolah berkenaan yang mula digunakan pada 1968 mempunyai visi ‘Pelajar Cemerlang Generasi Masa Depan’ dengan misinya, komited memberikan pendidikan berkualiti untuk melahirkan pelajar berkemahiran dalam semua aspek.

    Bersempena penggabungan sekolah rendah dan sekolah menengah pada awal 2004, sekolah itu ditukar nama menjadi Sekolah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai.

    Kemudian dengan perpindahan sekolah menengah ke sekolah baharu pada 2009, nama sekolah berkenaan kembali kepada asalnya iaitu Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai Tutong.

    Baginda Sultan dalam lawatan itu turut berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat kemudahan yang terdapat di sekolah, kebimbangan dan masalah yang dihadapi, program pendidikan dan kegiatan kokurikulum yang dilaksanakan serta beramah mesra bersama para pelajar sekolah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda