Oleh Pg Fairol RMF, Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Julai – Hari yang indah dan cerah mengundang segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama berkunjung dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71, hari ini.
Wajah-wajah ceria dan senyuman manis menerangi perkarangan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di mana orang ramai menanti dari awal pagi lagi untuk menatap wajah serta menjunjung kasih kehadapan majlis raja dan pemimpin yang disanjung tinggi serta dikasihi.
Berangkat bersama ke majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.