Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baginda Sultan utus tahniah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Filipina, Presiden Rodrigo Roa Duterte, kerajaan dan rakyat negaranya sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan Republik Filipina yang ke-119.

    Dalam titah perutusan tersebut, Baginda Sultan amat menghargai persahabatan yang telah sekian lama wujud di antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Filipina. Baginda juga berasa gembira dengan kemajuan baik yang telah dicapai dalam bidang pertukaran di antara rakyat kedua-dua negara dan peningkatan aktiviti dua hala dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

    Baginda seterusnya berharap akan dapat meneruskan kerja bersama Presiden Rodrigo Roa Duterte bagi meningkatkan hubungan dua hala dan juga sebagai rakan kongsi yang rapat dalam ASEAN dan BIMP-EAGA.

    Pada mengakhir titah tersebut, Baginda Sultan menyampaikan salam kepada Presiden Rodrigo Roa Duterte dan juga bagi kemajuan serta kemakmuran rakyat dan Republik Filipina yang berterusan.

    Dalam pada itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin, kerajaan dan rakyatnya sempena Hari Kebangsaan Persekutuan Rusia.

    Dalam titah perutusan kepada Vladimir Putin, Baginda amat menghargai persahabatan erat yang wujud di antara kedua-dua negara, rakyat dan seterusnya berharap akan mengukuhkan kerjasama yang sangat berharga dalam memperluaskan hubungan kerja dalam pelbagai bidang dua hala dan antarabangsa.

    Bagi mengakhiri titah perutusan tahniah tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan salam muhibah kepada Vladimir Putin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda