BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg berikutan dengan pelantikannya sebagai Ketua Menteri (KM) Negeri Sarawak yang keenam, baru-baru ini.
Dalam perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia percaya pelantikan ini melambangkan kepercayaan rakyat Negeri Sarawak terhadap kepimpinan Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari dalam memimpin Sarawak. Baginda Sultan seterusnya yakin di bawah kepimpinan beliau, rakyat Negeri Sarawak akan sentiasa menikmati keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia amat menghargai hubungan rapat dan persefahaman yang telah sekian lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sarawak serta berharap dapat bekerjasama rapat dengan Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari dalam mengukuhkan dan memelihara tali persahabatan ini pada masa-masa akan dating.
Pada mengakhiri perutusan tersebut, Baginda Sultan berdoa Kehadrat Allah S.W.T semoga Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari serta keluarga sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera dan dalam pemeliharaan-Nya jua.