Baginda Sultan utus tahniah kepada Kemboja

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Raja Kemboja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Norodom Sihamoni dan Perdana Menteri, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, kerajaan dan rakyatnya sempena Hari Kemerdekaan Kemboja yang ke-65 tahun.

Dalam titah perutusan kepada Raja Kemboja, Baginda Sultan menzahirkan kegembiraan terhadap hubungan persahabatan dan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dengan Kemboja yang terus kukuh dan seterusnya berharap dapat berpeluang memperkembangkan hubungan berkenaan untuk kepentingan bersama kedua-dua buah negara.

Sementara dalam titah perutusan sama kepada Perdana Menteri Kemboja, Baginda Sultan percaya Negara Brunei Darussalam dan Kemboja akan terus memupuk persahabatan dan kerjasama yang dinikmati oleh kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing.

Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan salam muhibah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Norodom Sihamoni dan TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen serta rakyat Kemboja akan terus mendapat kemakmuran yang berpanjangan.