Baginda Sultan utus tahniah kepada Myanmar

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Kesatuan Myanmar, U Htin Kyaw dan Penasihat Negara dan Menteri Hal Ehwal Luar, Daw Aung San Suu Kyi serta kerajaan dan juga rakyat negara itu bersempena dengan Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar yang ke-69.

Dalam titah perutusan kepada Presiden U Htin Kyaw, Baginda menzahirkan penghargaan di atas persahabatan yang erat dan kerjasama yang rapat di antara kedua-dua buah negara dan rakyat, dan berharap dapat berpeluang meningkatkan persahabatan dan kerjasama tersebut lagi di tahun mendatang.

Sementara dalam titah perutusan kepada Daw Aung San Suu Kyi, Baginda berharap akan dapat terus meningkatkan persahabatan yang telah sekian lama terjalin dan kerjasama yang telah dinikmati oleh kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing sama ada di peringkat dua hala mahu pun sebagai rakan kongsi serantau dalam ASEAN, terutamanya dalam memelihara perpaduan sempena ASEAN memperingati ulang tahunnya ke-50 tahun ini.

Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Baginda menyampaikan salam muhibah dan ucap selamat kepada Presiden U Htin Kyaw dan Daw Aung San Suu Kyi serta berharap semoga Republik Kesatuan Myanmar dan rakyatnya akan menikmati kemajuan dan kemakmuran yang berpanjangan.