Baginda Sultan utus takziah

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar perutusan takziah kepada Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Shinzo Abe berikutan dengan kejadian hujan lebat dan banjir yang berlaku di Barat Jepun, baru-baru ini.

Dalam titah perutusan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia melahirkan rasa sedih mengetahui tentang kejadian tersebut yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Bagi mewakili kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan perasaan simpati yang amat mendalam dan takziah kepada kerajaan dan rakyat Jepun terutamanya kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam bencana tersebut.