Baginda Sultan utus takziah

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Perdana Menteri New Zealand, Puan Yang Terutama The Right Honourable Jacinda Ardern berikutan serangan ke atas Masjid Linwood dan Masjid Al-Noor di Christchurch, New Zealand yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang-orang yang tidak berdosa dan mencederakan yang lainnya.

Dalam titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam bersama masyarakat antarabangsa mengutuk sekuat-kuatnya dalam apa jua bentuk keganasan ke atas orang awam khususnya di tempat-tempat ibadat dan berdiri teguh bersama dengan rakyat dan kerajaan New Zealand di saat-saat yang mencabar ini.

Pada mengakhiri perutusan tersebut, Baginda Sultan dan rakyat Negara Brunei Darussalam menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang amat mendalam kepada keluarga-keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi berkenaan.