BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengirim perutusan takziah kepada Persiden Amerika Syarikat, Donald Trump berikutan dengan insiden tembakan yang berlaku di Las Vegas yang mengorbankan lebih 50 orang dan lebih 500 lagi cedera, baru-baru ini.
Dalam titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan bagi pihak kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang amat mendalam pada ketika menyedihkan dan berkabung ini kepada Presiden Donald Trump dan kerajaan serta rakyat Amerika Syarikat terutama sekali kepada keluarga dan rakan mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Baginda seterusnya menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam berdiri teguh bersama-sama dengan negara-negara lain mengutuk kuat serangan tersebut dan seterusnya bersama rakyat Amerika Syarikat dalam menentang kekejaman berkenaan.