Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bagnaia juara MotoGP Malaysia

    SEPANG, 3 NOV – Francesco Bagnaia muncul juara MotoGP Malaysia yang mendebarkan hari ini selepas persaingan sengit dengan pendahulu kejuaraan, Jorge Martin untuk membawa perebutan kejuaraan pasangan itu ke hujung minggu terakhir musim ini.

    Pendahuluan pelumba Sepanyol, Martin dipotong kepada 24 mata selepas dia menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang juara bertahan Itali, Bagnaia dalam perlumbaan yang terpaksa dimulakan semula, dengan baki maksimum 37 mata untuk dimenangi pada pusingan akhir dalam masa dua minggu.

    Enea Bastianini berada di tempat ketiga jauh di belakang untuk menamatkan podium di belakang dua pelumba depan yang dominan, bertarung untuk empat pusingan pertama sebelum Bagnaia berjaya membuka jurang yang dipertahankannya hingga ke garisan penamat.

    “Sejujurnya, Jorge sangat agresif,” kata pelumba Ducati, Bagnaia selepas pendahuluan bertukar beberapa kali dalam persaingan awal.

    “Tetapi rentak kami terlalu baik, dan seperti biasa dalam perlumbaan, hari ini saya boleh menyerang.”

    Bagnaia meraikan kemenangannya di podium selepas MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang di Sepang pada 3 November. – AFP

    Martin dari Pramac Ducati telah melanjutkan pendahuluan kejuaraannya daripada 17 kepada 29 mata selepas dia memenangi perlumbaan kelmarin dan Bagnaia terjatuh daripada jentera Ducatinya.

    Bagnaia mengakui prestasi perlumbaan pecutnya tidak cukup baik tahun ini
    selepas memenangi grand prix ke-10nya pada 2024.

    “Kami hanya perlu memahami mengapa pada Sabtu saya bergelut untuk melakukan perkara yang sama,” kata juara dunia 2022 dan 2023 itu.

    “Namun ia adalah kemenangan ke-10 musim ini. Kami melakukan kerja yang hebat.”

    Martin sedang memburu gelaran dunia pertamanya dan kemenangan dalam perlumbaan pecut terakhir sudah cukup untuk menjamin gelaran itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda