Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Persatuan Hotel-hotel di Brunei (BAH), hari ini, telah menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri buat warga Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam yang berlangsung di pusat berkenaan, di Bengkurong, di sini, pagi tadi.
Hadir sama di majlis itu ialah Naib Presiden BAH, Rani Siteh yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan.
Beliau antara lain menyatakan bahawa acara tersebut antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang telah sedia terjalin antara pihak persatuan dan warga Pusat Ehsan.
Acara dianjurkan oleh Pengerusi Kelab Sukan dan Sosial BAH, Kee Taufek Kee Harrith bersama ahli-ahli persatuan yang lainnya.
Hadir bagi pihak Pusat Ehsan ialah Pemegang Amanah Eksekutif, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin, Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman, warga kerja dan pelajar-pelajar Pusat Ehsan.

Di majlis itu, sumbangan dan cenderahati turut diberikan kepada para pelajar Pusat Ehsan yang disampaikan oleh wakil-wakil dari BAH.
Sambil menikmati hidangan makanan dan minuman yang disediakan oleh ahli-ahli BAH, tetamu juga dihiburkan dengan nyanyian lagu Hari Raya Aidilfitri.
Acara tahunan ini bukan sahaja untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang telah sekian lama terjalin malah untuk terus berkongsi cerita dan berhibur bersama-sama dalam menikmati suasana Hari Raya Aidilfitri.