Oleh Norizan Murshid
BANDAR SERI BEGAWAN – Kreatif dan inovatif, itulah yang dapat dikatakan oleh Dayang Siti Salamiah binti Abd Ghani, pengurus dan pemilik Restoran dan Katering Nadi Utama, Kampung Sumbiling, yang baru saja dibuka baru-baru ini.
Konsep hiasan restoran ini kebanyakannya menggunakan bahan-bahan kitar semula.
Terdapat meja bulat yang berada di dalam restoran tersebut diperbuat daripada bekas kabel telefon yang tidak digunakan lagi.
Restoran ini memperkenalkan konsep layan diri atau self service di mana pelanggan bebas mengambil hidangan makanan mereka sendiri. Harganya pula dikenakan mengikut jumlah hidangan yang dipilih.
Dayang Siti Salamiah menyatakan bahawa dia telah menjalankan perniagaannya ini di Kampung Sengkurong sebelum cawangan baru ini dibuka. Tambahnya, dia memilih lokasi baru di Sumbiling ini adalah kerana kawasan tersebut akan menjadi tempat tumpuan dan persiaran baru di Bandar Seri Begawan yang bakal dibuka pada bulan Oktober ini.
Pastinya orang ramai akan tertumpu ke kawasan itu katanya.
Restoran ini juga turut mempamerkan barang-barangan antik seperti tembaga yang dibawa dari Temburong.

