Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Bahan mesra alam dominasi industri fesyen terkini

    PARIS – Kasut sniker diperbuat daripada daun pisang atau nanas, kemeja atau gaun daripada netel atau sisik ikan – usaha mencari bahan mampan telah membawa industri fesyen ke beberapa tempat yang terpencil dan jarang dikenali.

    Pakar mengingatkan tekstil baharu berkenaan bukan satu penyelesaian segera untuk masalah besar yang dihadapi fesyen dengan penggunaan berlebihan serta bahan buangan, namun mungkin merupakan langkah yang perlu dalam membangunkan teknologi lebih bersih.

    “Awda mungkin memakan produk atau keluaran akhir,” kata Hannes Schoenegger, pengasas bersama Bananatex, yang menggunakan daun daripada pokok pisang di Filipina untuk menghasilkan beg, kemeja-T dan kasut untuk syarikat H&M yang laris dijual dalam masa dua jam.

    Dia sedang bercakap di persidangan Premiere Vision Paris, di mana profesional industri fesyen berkumpul untuk mengetahui fabrik yang mana satu mendominasi musim-musim akan datang. “Kami hanya menggunakan keluaran sampingan tumbuhan, dan tanaman tersebut telah pun membesar dalam hutan, maka tiada bahan kimia, racun perosak atau air digunakan dalam proses pembuatan,” tambah Schoenegger.

    Dia merupakan salah seorang pemilik gerai yang memperkenalkan bahan yang diperoleh dari sumber alam.

    Gambar bertarikh 10 Februari 2022 menunjukkan pereka fesyen Britain, Ifeanyi Okwnadi bergambar bersama rekaannya di pameran di Paris. -AFP
    Gerai Nova Kaeru mempamerkan kulitnya yang dibuat daripada tumbuhan ‘elephant ear.’ – AFP
    Gambar fail menunjukkan pakaian, kasut dan aksesori yang dibuat daripada daun pisang di ‘Premiere Vision Paris’, pameran yang dikhaskan kepada syarikat yang membekal bahan untuk industri fesyen di pusat kovensyen di Villepinte, Paris. – AFP
    Seorang pereka menunjukkan fabrik hitam yang dibuat daripada daun pisang di ‘Premiere Vision Paris’. – AFP

    Nova Kaeru yang berpangkalan di Brazil menawarkan kulit yang dibuat daripada sisik ikan gergasi pirarucu yang dibuang dan sejenis tumbuhan tropika ‘elephant ear’. Tidak jauh, Annas Anam menunjukkan beberapa kasut Nike yang dibuat daripada daun nanas yang telah dibuang.

    Tekstil berkenaan boleh menjadi sesuatu yang unik, namun sesetengah syarikat bertekad untuk memperkenalkannya kepada fesyen aliran utama. Firma Sepanyol Pyratex menawarkan beberapa pilihan, daripada mengitar semula bahan buangan hasil pengeluaran jagung dan tebu, kepada pembuatan gentian daripada rumpai laut Iceland, buluh China atau pun kayu dari Austria.

    “Ia bukan mengenai mengganti kapas dengan sejenis tanaman alternatif. Ia adalah mengenai mencari pelbagai jenis pengganti untuk memastikan tidak ada apa-apa yang digunakan berlebihan,” kata jurucakap Pilar Tejada Lopez.

    Salah satu tumbuhan yang semakin menarik tumpuan adalah netel, yang boleh diubah kepada fabrik seakan-akan sutera dan amat kuat yang boleh digunakan dalam pakaian harian dan mewah.

    Ia memaparkan hakikat di mana kebanyakan teknologi berkenaan bukan lagi baharu.

    “Tumbuhan netel sebenarnya telah digunakan untuk pembuatan pakaian berabad-abad lamanya, tetapi kami telah lupa mengenainya,” kata Lopez. “Sebahagian daripada tugas kami adalah memperkenalkan semula idea berkenaan yang telah lenyap.”

    Manakala pakar lain mengingatkan mengenai kebergantungan berlebihan pada bahan baharu dalam kempen ke arah kemapanan.

    “Bahan pengganti tidak mempunyai fungsi jika kami terus menghasilkan jumlah pakaian yang sama,” menurut Victoire Satto, daripada The Good Goods, sebuah firma media yang mengkhusus dalam fesyen bertanggungjawab.

    Malah mereka mungkin menambah kepada masalah sekiranya dipertingkatkan dengan menggalak pembasmian hutan untuk membuka laluan kepada tanaman baharu yang lebih popular atau mengikut fesyen, katanya.

    Itulah sebabnya kenapa syarikat seperti Bananatex enggan melanggar had perladangan atau perkebunan semula jadi. “Projek kami membentuk sebahagian daripada program penghutanan semula, cara yang baik untuk memulihkan semula tanah-tanih dan menyediakan pekerjaan kepada keluarga tempatan,” kata

    “Terdapat had semula jadi dan kami tidak akan melanggarnya, disebabkan ia akan memberikan kesan negatif.”

    Pyratex juga memberikan banyak tumpuan untuk bekerjasama dengan petani yang bertanggungjawab, dan mengelak rantaian bekalan yang amat kompleks yang menjadikannya sukar untuk syarikat pakaian mengetahui siapa yang membekalkan bahan mentah mereka serta cara ia ditanam dan dihasilkan. Namun Satto berkata lebih banyak penyelidikan juga diperlukan mengenai ketahanan bahan yang diperoleh dari sumber alam, memandangkan separuh daripada kerosakan ekologi daripada pakaian mempunyai kaitan dengan pembuangannya.

    “Jika produk hanya bertahan enam bulan, ia adalah besar dari segi kesan alam sekitar,” katanya. Ifeanyi Okwuadi, pereka fesyen Britain yang juga pemenang anugerah, berkata tumpuannya adalah pada cara pakaian dibuat – bukannya bahan yang digunakan.

    “Apabila saya bercakap mengenai kemapanan, saya bercakap mengenai pembinaan – dari asas sehingga kepada penggunaan jumlah fabrik yang betul untuk setiap jahitan disebabkan butir-butir yang teliti itu menjejas jangka hayat pakaian apabila awda mencucinya,” katanya.

    Menurutnya, kebanyakan bahan yang diperoleh dari sumber alam masih berkembang mengikut peredaran masa.

    “Buat masa sekarang, terdapat banyak cogan kata yang menarik minat awda, namun akhirnya kami tidak perlu berkata sumbernya dari pisang dan sebagainya – ia hanya gentian berasaskan tumbuhan.”

    “Saya tidak menggunakan perkataan tersebut dalam kerja saya disebabkan teknologi sekarang adalah agak primitif. Tetapi saya melihatnya sebagai kitaran semula, sama seperti semua teknologi, dan kami memerlukan inovasi berkenaan.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...