Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Bahana dadah cetus risiko psikosis

    KUALA LUMPUR – Berhalusinasi sehingga tergamak membunuh ahli keluarga dan kenalan rapat kerana disangkakan hantu, musuh atau individu yang ingin mencederakan mereka.

    Keadaan yang dialami oleh kebanyakan penagih dadah ini sebenarnya adalah gangguan mental akibat pengambilan dadah jenis stimulan atau perangsang secara berpanjangan.

    Mendedahkan perkara ini, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, dadah jenis stimulan paling kerap dikaitkan dengan gejala psikosis atau gangguan mental yang teruk sehingga membuatkan penagih dadah bertindak di luar pemikiran rasional.

    Antara jenis dadah berkenaan termasuklah methamphetamine, amphetamine, ketamine, ekstasi dan beberapa jenis dadah yang lain.

    “Pengambilan dadah jenis stimulan boleh menyebabkan peningkatan hormon ‘dopamine’ iaitu sejenis ‘neurotransmitter’ pada otak yang berperanan mengawal keseimbangan emosi dan fungsi kognitif.

    Lokasi di mana seorang ibu warga emas berusia 70 tahun maut dipercayai dikelar anak lelakinya yang disyaki penagih dadah dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Batu 5, Jalan Jeniang. – Bernama
    Pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam empat serbuan di sekitar daerah Timur Laut pada 12 Mei hingga 14 Mei yang dipamerkan kepada para pengamal media. – Bernama

    “Dopamine dirembeskan di bahagian otak namun pengambilan dadah tertentu boleh merangsang, merencatkan rembesan dan mengganggu fungsi neurotransmitter.

    “Ketidakseimbangan neurotransmitter boleh menyebabkan gangguan mental seperti kemurungan, mania, perubahan tingkah laku dan keganasan, sekali gus membawa kepada gejala psikosis,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
     
    Seperti pesakit mental
    Mengulas lanjut, Dr Rusdi yang juga pakar psikiatri di Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC) berkata, psikosis boleh berlaku melalui berhalusinasi seperti mendengar suara halus, melihat imej atau bayangan yang orang lain tidak nampak, berasa sesuatu merayap di dalam kulit atau badan dan menghidu bau sesuatu yang hanya mereka mengalaminya.

    Selain itu, penagih dadah juga boleh mengalami delusi, seperti rasa takut tanpa sebarang sebab munasabah, paranoia dan kepercayaan pelik tanpa sebarang asas kukuh.  

    “Lazimnya, dadah jenis stimulan paling kerap dikaitkan dengan gejala psikosis. Mereka yang mengambil dadah jenis ini biasanya menjadi lebih bertenaga, banyak bercakap, terlebih aktif dan boleh berjaga malam selama berhari-hari.

    “Keadaan ini seterusnya disusuli dengan gejala psikosis yang menyebabkan mereka menjadi tidak rasional sama seperti pesakit mental.

    “Apabila putus ‘bekalan’ (dadah) mereka akan berasa sangat letih, tidur sepanjang hari, rasa sangat lapar dan menjadi murung. Mereka juga menjadi ‘moody’ dan cepat marah sehingga boleh berkelakuan agresif termasuk mencederakan orang sekeliling,” jelasnya.

    Dr Rusdi menambah, berdasarkan kajian luar negara yang pernah dibuat sebelum ini, seramai 36.5 peratus penagih dadah jenis methamphetamine akan mengalami gangguan psikotik.

    Keadaan menjadi tidak terkawal apabila dadah diambil secara berterusan untuk jangka masa panjang sehingga membawa kepada ketagihan yang teruk.

    “Gejala psikosis mengakibatkan penagih dadah menjadi tidak rasional apabila halusinasi dan delusi mempengaruhi tindak tanduk mereka. Pada tahap ini, mereka tidak dapat membezakan antara realiti, fantasi dan mimpi, sekali gus boleh menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan,” katanya.
     
    Gejala skizofrenia
    Psikosis akibat dadah jenis stimulan juga boleh menyerupai gejala penyakit skizofrenia cuma ia bersifat sementara dan akan hilang apabila penagih berhenti mengambil dadah sepenuhnya (gejala psikosis hilang apabila kesan dadah hilang).

    Lazimnya, apabila kesan dadah stimulan itu hilang, barulah mereka sedar betapa teruk dan tidak masuk akal perbuatan yang mereka lakukan.

    Pengambilan dadah jenis stimulan dalam kalangan pesakit mental seperti skizofrenia dan kemurungan boleh menyebabkan masalah mental menjadi lebih teruk, sukar dirawat dan pesakit perlu dimasukkan ke wad.

    Menurut Dr Rusdi, pesakit berkenaan memerlukan rawatan dual-diagnosis untuk kedua-dua penyakit mental (psikosis dan skizofrenia).

    “Ini perlu dijalankan secara serentak (simultaneously) bagi mencegah ‘relapse’ (berulang). Biasanya rawatan sebegini hanya terdapat di fasiliti kesihatan seperti klinik dan hospital tertentu sama ada kerajaan mahu pun swasta,” katanya.

    Beliau turut berkongsi kajian yang dibuat bersama rakan-rakannya pada tahun 2004 di Hospital Bahagia Ulu Kinta  Perak, bertajuk Schizophrenia, Substance Use and Aggressions: What Are The Relationships?.

    Kajian berkenaan bertujuan menentukan prevalens penyalahgunaan bahan-bahan seperti alkohol, kanabis, opiat, dadah jenis  stimulan atau perangsang serta beberapa bahan lain dalam kalangan pesakit skizofrenia.

    Keputusan kajian mendapati prevalens penyalahgunaan bahan-bahan tersebut dalam kalangan pesakit skizofrenia secara umum (termasuk alkohol) adalah 24.7 peratus dengan dadah jenis stimulan atau perangsang jenis amphetamine ialah 5.7 peratus.

    “Hasil kajian turut mendapati prevalens penyalahgunaan bahan-bahan itu lebih tinggi pada pesakit skizofrenia berbanding populasi umum selain pesakit lelaki yang mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah mempunyai kencenderungan untuk menjadi lebih agresif dan mungkin memerlukan penjagaan khas dan bantuan pakar,” katanya.
     
    Peranan ahli keluarga, masyarakat
    Selain tanggungjawab kendiri, ahli keluarga juga berperanan untuk mengenal pasti dan membawa individu terlibat dengan penagihan dadah mendapatkan rawatan awal yang amat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. 

    Keluarga boleh memujuk individu terbabit atau mendapatkan bantuan jiran dan ketua komuniti untuk membawa penagih ke hospital.

    “Jangan sampai berlaku kejadian yang menyedihkan baru nak bertindak. Sebenarnya rawatan yang berkesan sudah ada, cuma perlu ada individu yang prihatin dan ambil tahu tidak kira ahli keluarga, jiran atau masyarakat secara keseluruhannya.

    “Isu dadah sekarang ini adalah sejenis penyakit dan ia boleh diubati menggunakan rawatan ubat-ubatan dan kaunseling.

    Kalau dulu hanya pusat serenti (pemulihan) yang ada, sekarang kita ada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dan pusat rehabilitasi swasta,” katanya.
     
    Bergantung pada ubat
    Sementara itu, Presiden Pengasih Ramli Abd Samad berkata, kira-kira 60 hingga 70 peratus penagih dadah perlu mendapatkan rawatan pakar psikiatrik atau bergantung pada pelbagai jenis ubat-ubatan.

    Ia adalah akibat daripada ketagihan dadah jenis stimulan iaitu methamphetamine atau bahasa jalanannya turut dikenali sebagai ‘meth’, ‘ice’, ‘batu’ atau syabu.

    Beliau berkata, kebanyakan klien Rumah Pengasih mengalami kecelaruan mental atau psikosis dan memerlukan rawatan lanjut.

    Wujud beberapa peringkat gangguan mental iaitu terdapat penagih dadah jenis syabu yang hanya mengalami psikosis tahap sederhana dan mereka ini perlu mengambil ubat secara berpanjangan.

    “Saya boleh katakan 60 hingga 70 peratus penagih dadah perlu bergantung pada ubat-ubatan bagi  yang mengalami masalah gangguan mental sederhana.

    “Bagi klien kami yang sudah diperiksa oleh doktor pakar dan disahkan mengalami gangguan mental kritikal, mereka perlu menjalani rawatan di hospital terlebih dahulu.

    “Ini penting kerana mereka yang mengalami psikosis kritikal ini boleh bertindak agresif sehingga mencederakan orang atau membunuh kerana mengalami gangguan mental,” katanya.

    Menurut beliau, sejak kebelakangan ini terdapat beberapa kes membabitkan penagih dadah yang mengalami kesan psikosis yang kritikal iaitu mereka bukan saja mencederakan orang sekeliling malah turut membunuh ahli keluarga sendiri.

    “Saya mengharapkan masyarakat lebih peka dengan keadaan sekeliling termasuk ahli keluarga mereka sendiri dan tidak malu untuk mendapatkan rawatan awal untuk penagih dadah.

    Penagih dadah berulang yang mengalami psikosis kritikal adalah sangat bahaya jika tidak dirujuk dan dirawat oleh pakar perubatan bertauliah.

    “Kami di Pengasih juga amat berterima kasih kepada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang memberikan perkhidmatan rawatan untuk diagnosis penagih dadah ini,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...