Bahang suku akhir

PARIS, 15 Mac – Manchester United akan berdepan Barcelona dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara sementara Manchester City akan menentang Tottenham Hotspur selepas undian yang diadakan hari ini.

Liverpool akan bertembung dengan FC Porto dalam peringkat kalah mati untuk tahun kedua berturut-turut manakala Ajax yang menewaskan juara bertahan Real Madrid akan berdepan Juventus.

Kelab Inggeris menaruh harapan yang tinggi selepas mendominasi dalam pentas Eropah yang mana menyaksikan kesemua pasukan Inggeris mara ke kelompok lapan teratas.

Bagaimanapun, skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer, United perlu bekerja keras untuk mengatasi Barcelona yang diterajui Lionel Messi.

Bagi Solskjaer, perlawanan kedua akan mengingatkan semula memori semasa perlawanan akhir 1999 apabila pemain dari Norway itu beraksi dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan untuk United ketika menentang Bayern Munich di Stadium Camp Nou.

Dengan City dan United dilarang untuk beraksi di tempat sendiri dalam minggu yang sama, United akan berdepan pendahulu La Liga di Old Trafford pada 9 atau 10 April dan perlawanan timbal balik berlangsung seminggu selepas itu.

Kali terakhir empat kelab Liga Perdana mara ke suku akhir ialah pada 2008/2009, Barcelona menewaskan United 2-0 pada peringkat final di Rome. Kedua-dua kelab gergasi itu sekali lagi bertemu di peringkat final di Wembley pada 2011 yang menyaksikan Barca menang 3-1.

UEFA juga membuat undian untuk peringkat separuh akhir yang mana pemenang bagi perlawanan antara Barcelona dan United akan berdepan antara Liverpool atau Porto.

Skuad kendalian Jurgen Klopp yang baharu sahaja menyingkirkan Bayern Munich pada peringkat 16 akan berdepan juara Portugal selepas menewaskan mereka 5-0 secara agregat pada peringkat 16 dan mara ke peringkat akhir musim lepas. – AFP

Perlawanan-perlawanan bagi peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. – AFP