Baharui lesen memandu, kenderaan dalam talian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, memaklumkan kepada orang ramai mengenai penutupan semua kaunter perkhidmatan JPD dan beberapa perubahan terhadap perkhidmatan JPD bermula 13 April.

Kenyataan menjelaskan bahawa permohonan membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan sekarang boleh dibuat melalui pilihan-pilihan berikut iaitu dengan menghubungi nombor perkhidmatan Talian Darussalam (TD) iaitu 123 atau menghantar e-mel kepada [email protected], atau secara dalam talian (online) melalui aplikasi mudah alih TransportBN dan melalui laman sesawang rasmi kerajaan www.gov.bn.

Permohonan membaharui lesen memandu (DL) dan lesen kenderaan (VL) yang dihadapkan melalui TD 123 yang telah siap akan dilaksanakan melalui kaedah pandu lalu (drive through) di cawangan-cawangan JPD yang berkenaan.

Sementara itu, permohonan bagi perkhidmatan-perkhidmatan JPD yang lain untuk dihadapkan, dibayar dan diambil melalui perkhidmatan Drop, Pay and Collect melalui kaedah pandu lalu di cawangan-cawangan JPD yang berkenaan.

Sebelum menghadapkan permohonan bagi mana-mana perkhidmatan di atas, orang ramai adalah dinasihatkan untuk memastikan syarat-syarat permohonan dipatuhi, maklumat dikemas kini serta dokumen yang diperlukan teratur dan disertakan (jika diperlukan).

Sebarang borang permohonan dan maklumat lanjut mengenai tatacara memohon dan pandu lalu bagi perkhidmatan-perkhidmatan JPD bolehlah didapati dan dimuat turun dari laman sesawang JPD, www.mtic.gov.bn/ltd.

Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa waktu penerimaan permohonan melalui perkhidmatan TD 123 dan perkhidmatan Drop, Pay and Collect di kesemua cawangan JPD adalah seperti berikut iaitu penerimaan permohonan membaharui DL dan VL melalui TD 123 adalah 24 jam, manakala melalui kaedah pandu lalu bagi pembayaran dan pengambilan DL dan VL yang telah siap, penghantaran permohonan bagi perkhidmatan lain Drop, Pay and Collect serta pembayaran dan pengambilan permohonan bagi perkhidmatan lain melalui perkhidmatan Drop, Pay and Collect yang telah siap (tertakluk pada tarikh dan waktu pengambilan yang ditetapkan) adalah dari pukul 8 pagi hingga 2 petang.

JPD dalam kenyataan itu juga memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi tarikh, waktu, tatacara dan tempat penghantaran dan pengambilan yang ditetapkan, memastikan segala dokumen (jika diperlukan) dan wang bayaran dalam jumlah yang tepat tersedia, mengikut laluan yang dikhaskan dan ber-ada di dalam kenderaan masing-masing pada setiap masa serta mematuhi arahan-arahan daripada para pegawai yang bertugas.

JPD ingin memohon maaf sekali lagi atas sebarang kesulitan dihadapi oleh orang ramai dengan perubahan yang diperkenalkan dan pada kesempatan itu, JPD sekali lagi mengucapkan terima kasih atas kerjasama orang ramai dalam sama-sama menangani virus COVID-19.

Rajah bagi kaedah laluan pandu lalu di Ibu Pejabat JPD. – Gambar serahan JPD