KUALA LUMPUR – Pandemik COVID-19 yang masih melanda dunia telah membuka dimensi baharu dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Dalam mendepani cabaran global ini, proses PdP pada semua peringkat sama ada di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan sebagainya mengorak langkah ke arah memanfaatkan pelbagai platform teknologi.
Bidang bahasa Arab juga tidak ketinggalan dalam hal ini apabila PdP secara dalam talian menjadi pilihan utama banyak pihak dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Jika sebelum ini PdP Bahasa Arab hanya dapat dijalankan secara bersemuka di kelas atau dewan dengan keterbatasan jarak, masa dan kos, kini segalanya berubah dengan adanya pelbagai medium komunikasi berorientasikan teknologi.
Universiti Antarabangsa al-Madinah (MEDIU) contohnya pada 15 Disember 2021 lalu dapat menganjurkan seminar & dialog antarabangsa secara dalam talian bertemakan “Pembelajaran Bahasa Arab dan Ilmunya dalam kalangan Pelajar Malaysia: Realiti dan Harapan” dengan menampilkan tokoh ilmuwan daripada pelbagai IPT seluruh negara bagi membincangkan masa depan bidang bahasa Al-Quran ini.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/12/P16-2_20122021.jpg)
Usaha sebegini mencerminkan keprihatinan para ilmuwan Bahasa Arab bagi meneroka pembaharuan yang bersesuaian dengan tuntutan semasa bagi memastikan bidang ini terus relevan dalam era pasca pandemik COVID-19.
Dengan adanya kemajuan teknologi terkini, kekangan dan keterbatasan PdP semasa merebaknya pandemik COVID-19 ke seluruh dunia bagaikan tidak terasa.Setelah 9 tahun Bahasa Arab diberi pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dengan pengisytiharan tanggal 18 Disember sebagai Hari Bahasa Arab Sedunia, semua pihak pelu menggiatkan usaha memastikan bidang Bahasa Arab sentiasa berada pada tahap cemerlang dan kekal sebaris dengan bahasa-bahasa utama lain di dunia.
Justeru, usaha kolaborasi perlu dipertingkatkan dan budaya ‘bergerak sendiri’ perlu diketepikan lebih-lebih lagi tatkala mendepani cabaran pendidikan global era pandemik COVID-19. Usaha orang perseorangan dan masyarakat awam selain institusi pendidikan formal dalam memanfaatkan teknologi terkini dalam PdP Bahasa Arab perlu disokong oleh semua pencinta bahasa ini.
Sebagai contoh pengendalian “Kelas Bahasa Arab dalam Talian al-Jahiz” yang memanfaatkan aplikasi Telegram merupakan antara pendekatan kontemporari yang memanfaatkan kemudahan teknologi semasa dalam pembelajaran bahasa Arab. Siri pembelajarannya yang telah melepasi beberapa siri membuktikan sambutan dan minat orang awam dalam mempelajari bahasa Arab.
Situasi pandemik COVID-19 yang mengekang pergerakan pelajar untuk menghadiri kelas pembelajaran bahasa Arab secara bersemuka turut mempengaruhi peningkatan jumlah pendengar segmen belajar bahasa Arab di radio seperti “Hayya bil Arabiyyah” di IKIM.fm, “al-Arabiyyah fi al-Radio” di Terengganu.fm, serta “Bahasa Arab Mujarab” di Kelantan.fm dengan siarannya turut dibuat secara langsung menerusi Facebook.
Semua usaha murni ini perlu dipertingkatkan dengan respons positif oleh semua pihak termasuk orang perseorangan yang menyedari kepentingan bahasa Arab.
Sempena sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia tahun ini, marilah kita mengorak langkah bersama dalam memperkasakan PdP Bahasa Arab dengan variasi pendekatan berorientasikan teknologi. – Bernama