Bahasa Arab subjek kecemerlangan

PARIS – Di pinggir subbandar pelbagai etnik Paris, Kremlin-Bicetre, sekelompok kanak-kanak terlihat duduk diam di meja mereka, sementara yang lain berada di luar kelas mereka, bermain-main dalam suasana cahaya matahari musim luruh.

“Ayna yaskunu Adel? (Di mana Adel tinggal)” tanya guru Hanan kepada kanak-kanak tersebut, sambil menunjukkan buku teks yang memaparkan seorang budak lelaki dan perempuan berada di sebuah perkampungan, bersama dengan sebuah sekolah dan masjid.

Ada yang mengangkat tangan, iaitu seorang budak perempuan yang menjawab bahawa dia tinggal di belakang ‘madrassa’ atau sekolah.

Selamat datang ke Lissane, salah sebuah sekolah bahasa swasta yang semakin meningkat di sana, di mana golongan kanak-kanak dan juga cucu-cucu pendatang dari Afrika Utara mengikuti pembelajaran Bahasa Arab klasik pada setiap petang Rabu, apabila sekolah-sekolah ditutup dan juga pada hujung minggu.

Sementara pelajar-pelajar Hanan, berusia antara 7 hingga 10 tahun, mempelajari kata ganti nama mengandungi pertanyaan di salah sebuah daripada tujuh bilik darjah, yang mana ditempatkan di bekas bangunan pejabat. Manakala sekumpulan kanak-kanak berumur empat tahun, yang berada di ruangan bersebelahan, kedengaran menyanyi lagu kanak-kanak mengenai bahagian-bahagian tubuh badan.

Seorang guru menulis di papan putih semasa kelas Bahasa Arab bagi kanak-kanak muda di sekolah swasta Institut Lissane di Le Kremlin-Bicetre di pinggir ibu kota Perancis, Paris. – AFP
Sekolah swasta Institut Lissane merupakan salah sebuah sekolah bahasa swasta yang semakin meningkat di sana, di mana golongan kanak-kanak dan juga cucu-cucu pendatang dari Afrika Utara mengikuti pembelajaran Bahasa Arab klasik pada setiap petang Rabu. – AFP
Seorang kanak-kanak semasa berada di kelas Bahasa Arab bagi kanak-kanak muda di sekolah swasta Institut Lissane di Le Kremlin-Bicetre. – AFP

Seperti kebiasaannya, guru-guru wanita di sini memakai tudung, iaitu suatu pemakaian yang dilarang bersama dengan simbol-simbol keagamaan lain di sekolah negeri itu.

Ilmu ‘Sains Islam’ atau pelajaran agama yang telah dijalankan di Lissane dan kebanyakan sekolah Bahasa Arab swasta lainnya telah diteliti sebaiknya di negara itu, di mana ianya mempunyai hubungan yang tidak menyenangkan bersama dengan minoriti muslimnya, yang mana memiliki jumlah terbesar di Eropah dengan anggaran lima juta orang.

Pengasas bersama Lissane, Abdelghani Sebata, seorang graduan undang-undang warga Algeria berusia 37 tahun, mengatakan bahawa komponen agama bagi kursus-kursus tersebut, termasuklah pembelajaran ayat-ayat suci Al-Quran, adalah ‘sangat ringan.’

“Mengenai bahagian keugamaan, kami serahkannya kepada kaum keluarga berkenaan,” katanya kepada AFP.

Tetapi di kebanyakan masjid, yang juga mengajarkan kanak-kanak untuk membaca dan menulis Bahasa Arab yang mana telah digunakan dalam komunikasi, kesusasteraan dan media rasmi di seluruh dunia Arab dan juga di dalam Al-Quran, namun Islam masih menjadi fokus utamanya.

Laporan mengenai radikalisasi yang dijalankan oleh Institut Montaigne baru-baru ini, seorang pemikir Perancis liberal yang dihormati, memberi amaran bahawa kelas Bahasa Arab telah menjadi ‘cara terbaik bagi penganut ugama Islam untuk menarik golongan-golongan muda ke masjid dan sekolah-sekolah persendirian mereka.’

Sebagai tindak balas, Menteri Pelajaran Jean-Michel Blanquer, salah seorang menteri yang sangat bersaing dengan Presiden Emmanuel Macron, mengumumkan rancangannya untuk mengambil kawalan semula.

Mengadu bahawa Bahasa Arab klasik harus diperlakukan seperti ‘bahasa yang hebat’ seperti Bahasa Rusia dan Cina, dia berikrar dan berjanji untuk mengembangkan pengajaran tersebut di sekolah-sekolah negeri.

Cadangannya itu telah menimbulkan tindak balas marah daripada anggota sayap kanan yang melihat penggunaan Bahasa Arab oleh imigran Afrika Utara boleh mendatangkan permusuhan, melihatnya sebagai bukti kegagalan untuk mengintegrasikan.

Luc Ferry, dahulunya menteri pendidikan di bawah bekas presiden kanan, Jacques Chirac, mempersoalkan sama ada kerajaan cenderung untuk ‘memerangi Islamisme atau membawanya ke pendidikan awam,’ menunjukkan bahawa Bahasa Arab kini lebih terkenal dan juga penting.

“Kami berada dalam logik penyerahan,” kata Louis Aliot, ahli parlimen dari parti paling-kanan Rali Kebangsaan (dahulunya National Front), mengulangi tajuk novel oleh penulis kontroversial Michel Houellebecq, bertajuk ‘Submission’, yang membayangkan Perancis diperintah oleh orang Islam.

Hakim El Karoui, pengarang laporan Institut Montaigne yang menghidupkan kembali perdebatan panjang mengenai desakan Perancis yang mendekatkan identiti etnik mereka pada ketibaan dan pemelukan ‘Frenchness,’ mengatakan bahawa dia ‘tidak sama sekali’ terkejut dengan reaksi di sebelah kanan.

“Apa sahaja yang bersangkut-paut dengan orang Arab, akan membuatkan mereka marah,” kata El Karoui, seorang pakar geografi dan dan bekas penasihat kerajaan kelahiran Tunisia, memberitahu AFP.

Beliau menunjukkan kepada meningkatnya kekurangan sekolah yang menawarkan Bahasa Arab, bahasa kedua yang paling banyak digunakan di Perancis, dan yang digunakan oleh lebih 430 juta orang di seluruh dunia, sebagai bukti keengganan mereka untuk mengajar subjek yang berkaitan dengan pendatang ‘bermasalah.’

Hanya 567 pelajar sekolah rendah mempelajari Bahasa Arab tahun lalu, sepertiga daripada jumlah yang mengambil Bahasa Cina sebagai bahasa wajib kedua mereka. Kebanyakan memilih Bahasa Inggeris.

Di sekolah menengah, hanya 11,200 murid belajar Bahasa Arab, yang ditawarkan di segelintir sekolah di setiap bandar raya, kebanyakannya di pusat bandar kolej elit.

Dengan permintaan yang jauh melebihi bekalan, ibu bapa telah beralih ke masjid, persatuan agama dan sekolah swasta seperti Lissane, yang secara keseluruhannya menarik kira-kira 80,000 pelajar, menurut anggaran kerajaan yang dipetik dari Institut Montaigne.

Ines Kridaine, warga Tunisia berusia 35 tahun, yang tinggal di Perancis selama 13 tahun yang lalu, telah mendaftarkan anak perempuannya, Ikram di kelas di Lissane pada usia empat tahun.

Lima tahun kemudian Ikram dapat memahami saudara-maranya yang berwarganegara Tunisia, mengikuti saluran berita Arab dan membaca Al-Quran. Tetapi Ines, yang memakai tudung dan jaket abaya longgarnya, masih berharap Bahasa Arab dapat diajar semasa waktu kelas.

“Ia harus diperlakukan seperti mana-mana bahasa lain,” kata-nya.

Menulis dalam akhbar Le Monde baru-baru ini, ketua Institut Dunia Arab yang berprestij di Paris, bekas menteri sosialisnya Jack Lang, mempertahankan Bahasa Arab sebagai bahasa ‘Kristian Arab, Yahudi, Muslim dan ateis, blogger, media sosial, orang muda, penulis , penyair, artis, penyanyi, hip-hop, saintis, penyelidik, wartawan, syarikat dan inovator.’

Ini adalah sebuah pandangan yang dikongsikan oleh Jerome Gercet, pengetua sebuah sekolah menengah antarabangsa di bandar raya tenggara Grenoble, di mana ia terpaksa memalingkan pemohonnya untuk bahagian Bahasa Arabnya setiap tahun.

Selepas tamat pengajian, kebanyakan pelajarnya melanjutkan pelajaran ke bidang sains politik, perubatan, perniagaan, kejuruteraan, seni atau pentadbiran.

Itu membuktikan, katanya, bahawa Bahasa Arab adalah ‘subjek kecemerlangan.’ – AFP