Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bahasa Isyarat mudahkan pasangan istimewa

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Dilahirkan bisu dan pekak tidak menjadi halangan untuk golongan istimewa ini mengikat tali perkahwinan dengan adanya Bahasa Isyarat sebagai bentuk komunikasi bagi mereka.

    Dr Hajah Norbaya binti Haji Shahminan, seorang guru sudah lama terlibat dan mendalami penggunaan Bahasa Isyarat telah berkongsi pengalaman beliau dalam memberi khidmat Bahasa Isyarat untuk pasangan istimewa semasa majlis akad nikah.

    Dalam membantu golongan istimewa berkenaan melancarkan proses akad nikah, Dr Hajah Norbaya menggunakan Bahasa Isyarat dalam majlis tersebut sebagai jurubahasa isyarat untuk pasangan pengantin lelaki.

    Selain itu, beliau juga diberi kepercayaan untuk melaksanakan kursus nikah bagi pasangan istimewa sebelum mereka melangsungkan perkahwinan. Menurutnya, ibu bapa kepada pasangan istimewa ini perlu memaklumkan awal untuk menggunakan khidmatnya bagi majlis akad nikah anak-anak mereka.

    Di samping memberikan khidmat dalam Bahasa Isyarat pada majlis akad nikah, beliau juga memberikan kursus nikah untuk pasangan istimewa sama seperti pasangan-pasangan yang normal.

    Dr Hajah Norbaya semasa memberikan khidmat sebagai jurubahasa dalam salah satu majlis akad nikah pasangan istimewa.

    Beliau sudah lama terlibat dalam memberikan khidmat bahasa isyarat untuk pasangan istimewa dan video menunjukkan beliau memberikan khidmat semasa majlis akad nikah salah satu pasangan berkenaan telah tular dan mendapat banyak ‘like’ dan dikongsi. Bukan setakat itu, video tersebut juga dikongsi dalam salah satu rancangan televisyen di Malaysia.

    Apabila video tersebut tular, Jabatan Hal Ehwal Syariah mengambil inisiatif memberi surat penghargaan atas khidmat yang diberikan dalam membantu pasang-pasangan istimewa berkenaan dalam majlis akad nikah mereka.

    Beliau mula belajar Bahasa Isyarat sejak 1995 dan penglibatan aktif sebagai juru bahasa ini lebih ketara pada 2000 yang mana ia melibatkan kes di mahkamah.

    “Di negara ini banyak yang telah mula mempelajari penggunaan Bahasa Isyarat dan setakat ini lebih 100 yang mendalami Bahasa Isyarat tapi daripada jumlah tersebut lima orang yang berkemahiran dalam penggunaan Bahasa Isyarat,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda