Oleh Pak Abu –
Baru-baru ini saya berjalan-jalan di sebuah gedung membeli belah.
Namun saya terkejut apabila mendengar terdapat sesetengah individu memanggil atau menegur seseorang dengan panggilan ‘psstt psst’ lalu bersiul. Sudah tentu ini menjadi tanda tanya kepada saya. Walhal ada lagi panggilan lebih elok untuk menyapa seseorang.
Panggilan seumpamanya sering digunakan oleh belia lingkungan 20an. Walaupun ia sekadar gurauan atau kebiasaan cara bertutur antara individu, namun seperti mana yang kita ketahui cara dan bahasa percakapan seseorang mencerminkan nilai peribadi dan memberi gambaran keseluruhan kehidupan yang dilalui.
Oleh itu, individu yang bijak sentiasa menjaga tutur katanya agar tidak dinilai sebagai kurang sopan, tidak bijak dan gambaran buruk lain.
Malangnya terdapat individu yang kurang berhati-hati ketika bercakap seperti tidak berasa apa-apa kesalahan mengeluarkan perkataan itu walaupun sedar perbuatan tersebut menyinggung perasaan atau mendatangkan keburukan kepada individu lain.

Tidak keterlaluan dikatakan ada yang berbangga apabila dilabelkan mempunyai gaya percakapan buruk atau dikatakan ’tidak sayang mulut’.
Individu yang menuturkan perkataan tidak baik berasa dirinya hebat dan tidak takut akan implikasi perbuatan itu kerana yakin tidak ada pihak lain yang akan berani menyanggahnya.
Setiap individu wajar mengambil berat aspek ketelitian percakapan sebagai lambang peribadi yang murni.
Hakikatnya, tidak ada yang suka mendengar percakapan tidak elok hingga boleh meninggalkan kesannya kepada orang lain.
Oleh itu, saya berpendapat kita hendaklah menjaga setiap tutur kata agar tidak menyinggung hati individu bak kata pepatah ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.