Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    ‘Bahaya subahat dengan pengedar dadah’

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BELAIT, 10 SEPT – Dalam meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kesalahan dan hukuman bersubahat dengan pengedar dadah haram, Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah mengadakan majlis pembarigaan risalah sempena Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram bagi peringkat Daerah Belait, di Hotel V Plaza, Kuala Belait, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyampaikan risalah-risalah tersebut melalui penghulu dan ketua-ketua kampung, ketua-ketua agensi kerajaan dan swasta, sekolah-sekolah kerajaan dan swasta ialah Pengarah BKN, Dato Paduka Mohd Zalani bin Haji Ismail.

    Semasa berucap, Dato Paduka Mohd Zalani antara lain menyatakan bahawa negara-negara di dunia termasuk Negara Brunei Darussalam menghadapi banyak cabaran dalam mencari penyelesaian bagi menumpaskan kegiatan penyalahgunaan dadah.

    “Bagi tahun ini, dari Januari hingga Julai, terdapat seramai 413 orang telah ditangkap bagi kesalahan penyalahgunaan dadah termasuk bersubahat dengan pengedar dadah haram,” kongsinya.

    Beliau menambah bahawa BKN secara amnya berusaha untuk mengenal pasti program-program dan inisiatif bagi sama-sama menangani isu pengedar dan penyalahgunaan dadah haram.

    “Alhamdulillah, menerusi operasi-operasi yang telah dijalankan sepanjang tahun 2020 hingga 2023, sebanyak 25 projek operasi BKN dengan kerjasama yang telah diberikan berjaya menumpas sindiket-sindiket pengedar dadah yang ada kalanya keluarga turut bersubahat dengan penyalahgunaan dadah haram,” ujarnya.

    Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan taklimat undang-undang mengenai bahaya bersubahat dengan orang yang menjual dan membekal dadah haram yang disampaikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dan Timbalan Penasihat Undang-undang Kanan, Ketua Unit Jenayah Kewangan dan Narkotik, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff; dan Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang, Unit Jenayah Kewangan dan Narkotik, Awang Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.

    Antara tujuan majlis adalah untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat agar peka mengenai undang-undang dan bahaya bersubahat dengan pengedar dadah haram di negara ini.

    Dalam pada itu, masyarakat dan setiap agensi juga diharap terus memainkan peranan dalam sama-sama bertanggungjawab mencegah kegiatan dadah di negara ini.

    Dayangku Didi-Nuraza dan Awang Muhammad Qamarul Affyian semasa menyampaikan taklimat pada majlis yang diadakan di Hotel V Plaza, Kuala Belait, baru-baru ini. – Gambar oleh Daniel Lim
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...