Ulasan buku oleh Raz AS
NOVEL The Corset adalah sebuah novel seram era Victoria daripada penulis karya yang menjadi pilihan Radio 2 Book Club, The Silent Companions, Laura Purcell.
Ruth Butterham, seorang banduan yang hilang akal ataupun seorang pembunuh? Mangsa ataupun penjahat? Buku ini mengisahkan tentang Dorothea dan Ruth, si pelawat penjara dan si banduan. Seorang yang berkuasa dan seorang lagi tidak.
Dorothea Truelove ialah seorang gadis muda, berharta dan cantik. Ruth Butterham pula seorang gadis muda, miskin dan menunggu untuk dibicarakan atas dakwaan membunuh.
Apabila kerja-kerja berkebajikan Dorothea membawakannya ke penjara Oakgate, dia berasakan ini adalah peluang baginya untuk mendalami minatnya terhadap bidang frenologi. Dorothea ingin menguji hipotesisnya mengenai bentuk kepala manusia dapat mendedahkan mengenai jenayah yang mereka lakukan.
Namun apabila dia bertemu si gadis tukang jahit, Ruth, dia berhadapan dengan teori yang lain, ia adalah sesuatu tidak mustahil untuk melakukan pembunuhan hanya dengan menggunakan sebentuk jarum dan benang.
Ruth mengatakan bahawa jenayah yang dilakukannya adalah berpunca daripada kuasa ghaib yang terdapat melalui jahitannya.
Kisah yang diceritakan Ruth mengenai ciptaan-ciptaan bahayanya, kepahitan, pengkhianatan, kematian dan pakaian akan menggoncangkan kepercayaan Dorothea terhadap sesuatu yang rasional dan kuasa untuk menebus kesalahan.
