BANGKOK, 29 Jan – Thailand secara rasmi menerima permohonan Bahrain untuk menyerah balik seorang pemain bola sepak yang telah ditahan yang mempunyai status pelarian di Australia.
Permohonan Bahrain bagi penyerahan balik Hakeem al-Araibi telah diterima semalam dan dikemukakan kepada pihak pendakwa untuk dipertimbangkan, jurucakap wanita kementerian luar Busadee Santipitaks berkata hari ini.
Pemain pasukan kebangsaan Bahrain itu berkata dia melarikan diri dari tanah airnya disebabkan penindasan politik. Bahrain mahu dia kembali untuk menjalani hukuman penjara bagi tuduhan yang dinafikannya.
Al-Araibi ditahan setibanya di Bangkok pada November lalu ketika bercuti, dan pada Disember lalu mahkamah memerintahkan dia mungkin ditahan selama 60 hari sementara menantikan permohonan Bahrain bagi penyerahan balik selesai. Peguam negara dijangka memutuskan kes al-Araibi dalam tempoh seminggu, menurut Chatchom Akapin, ketua pengarah bagi hal ehwal jabatan peguam negara.
Chatchom berkata Thailand tidak akan menyerahkan balik al-Araibi ‘jika permohonan penyerahan balik itu adalah politik,” Dia berkata ‘jika begitu’ maka permohonan mesti ditolak.”
Kumpulan hak asasi kemanusiaan, badan pentadbiran bola sepak dan aktivis telah membuat desakan antarabangsa supaya Thailand membebaskan al-Araibi, 25 tahun yang bermain untuk kelab bola sepak separa-profesional, Pascoe Vale FC di Melbourne. – AP

































