Baht kukuh boleh jejas pemulihan ekonomi – MPC

BANGKOK, 3 JUN – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Thailand menyatakan kebimbangan mengenai pengukuhan baht yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi negara ini.

Penolong Gabenor Bank of Thailand (BoT) dan Setiausaha MPC, Titanun Mallikamas berkata prospek ekonomi 2020 amat tidak menentu berdasarkan persekitaran ekonomi dan kewangan global dengan risiko kepada prospek ekonomi cen-derung untuk aliran penurunan.

Pihak berkuasa Thailand bimbang Baht yang lebih kukuh berbanding mata wang lain akan menjadikan eksport negara kurang berdaya saing dan tidak menggalakkan pelancong asing ke negara ini.

Sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan Thailand.

“Pada mesyuarat dasar yang terkini, MPC menekankan perkembangan dalam pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing memerlukan pemantauan yang ketat,” katanya dalam kenyataan.

Titanun berkata akaun semasa bulanan dijangka hampir seimbang sehingga pendapatan sektor pelancongan pulih, susut daripada purata sekitar AS$3 hingga 4 bilion dalam lebihan sebulan dalam tempoh beberapa tahun ini.

Beliau berkata trend itu menunjukkan peralihan dalam baki akaun semasa dan kadar pertukaran yang dinamik berikutan pandemik COVID-19.

“Akaun semasa dijangka tidak menjadi pemacu utama kepada tekanan kenaikan baht dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

Data ekonomi terkini untuk April 2020 menunjukkan defisit dalam akaun semasa kira-kira AS$0.7 bilion.– Bernama