Bahulu bakar sabut kelapa dapat sambutan menggalakkan

REMBAU – Keenakan rasa bahulu resipi turun-temurun sejak 60 tahun lepas yang dibakar secara tradisional menggunakan kayu api dan sabut kelapa, menjadi tarikan orang ramai untuk membeli ‘Bahulu Bakar Sabut Kelapo Warisan Sitam’ yang diusahakan sebuah keluarga di Kampung Batang Nyamor, Kota, dekat sini.

Menurut Hamsyinar Yunus, 34, idea membuat kuih bahulu secara tradisional itu terhasil kerana ingin menambah pendapatan yang terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Berbekalkan resipi daripada arwah nenek, beliau mengusahakan kuih bahulu itu di rumahnya bersama kakaknya, Shamsyidar, 39, dan suami Rizal Mohammad, 46, serta dua pembantu.

“Bahan-bahan yang telah siap diadun akan dibakar di atas tungku menggunakan kayu api getah dan sabut kelapa kemudian akan dimasak selama lima hingga tujuh minit.

“Setiap satu bancuhan dapat menghasilkan kira-kira 300 biji bahulu.

“Pada hari biasa, Isnin hingga Rabu kami akan masak lebih kurang 1,000 biji bahulu manakala pada hujung minggu pula mencecah sehingga 2,000 biji bagi menampung permintaan yang agak memberangsangkan,” katanya kepada media baru-baru ini.

Hamsyinar berkata bahulu yang sudah dimasak akan dimasukkan ke dalam bekas yang boleh diisi sehingga 50 biji dan dijual pada harga RM20 satu bekas.

“Pembelian kita tidak dapat buat secara pos kerana bimbang kualitinya akan rosak jadi pelanggan akan datang sendiri untuk beli.

“Ada antara pelanggan kami yang datang dari jauh seperti Perak, Selangor dan negeri lain, bukan hanya dikenali pelanggan di Negeri Sembilan sahaja,” katanya.

Beliau juga tidak menjangka keputusannya untuk menjual bahulu ini mendapat sambutan yang menggalakkan, bahkan hasil pendapatan yang diperoleh kini dapat melunaskan komitmen yang ada dan membantu menampung perbelajaan harian mereka sejak perniagaan katering yang diusahakannya terjejas akibat COVID-19. – Bernama

Rizal Mohammad memasak kuih bahulu yang dibakar secara tradisional dengan menggunakan kayu api getah dan sabut kelapa bagi memberikan keenakan rasa kuih bahulu itu. – Bernama
Hamsyinar Yunus memasukkan kuih bahulu yang telah siap dimasak ke dalam bekas di rumah keluarganya. – Bernama