Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Dalam acara kedua Siri Let’s Give Back This Ramadan, sukarelawan Bank Baiduri telah menganjurkan kegiatan membeli-belah bagi 10 buah keluarga kurang berkemampuan di Daerah Tutong, hari ini.
Hadir di Hua Ho, Petani Mall, Tutong bersama para sukarelawan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui yang berkata, inisiatif seperti Let’s Give Back This Ramadan, menyediakan satu laluan bagi sukarelawan bank untuk terlibat secara langsung dengan usaha-usaha yang memberikan impak positif kepada masyarakat setempat serta juga membina kerjasama berpanjangan dengan perniagaan tempatan dan organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Beliau berkata dalam semangat co-creation, pihaknya telah bekerjasama dengan The Impian Project untuk mengenal pasti keluarga-keluarga yang memerlukan dan pelbagai restoran untuk menyediakan pek makanan bagi keluarga-keluarga berkenaan untuk berbuka puasa.
“Kami juga berurusan dengan Dart Brunei untuk membantu menghantar barangan-barangan ini kepada keluarga-keluarga berkenaan di kediaman mereka,” tambahnya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, inisiatif berkenaan bertujuan untuk membawakan keriangan musim perayaan kepada keluarga-keluarga yang
kurang berkemampuan di keempat-empat daerah dengan membawa mereka membeli-belah untuk barangan keperluan harian dan asasi dalam persiapan bagi Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Turut hadir semasa aktiviti berkenaan ialah Ketua Perbankan Korporat, Leonard Lee, Ketua Kumpulan Risiko, Jonathan Lim dan Ketua Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan di Bank Baiduri, Ng Yick Wei.
