Baiduri Capital anjur webinar pelaburan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendidik para pelabur tentang pasaran kewangan global, Baiduri Capital telah menganjurkan seminar dalam talian (webinar) bertajuk Fundamentals of Financial Health Check of a Company, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, webinar berkenaan dikendalikan oleh Ketua Editor HQ Education Series di Phillip Securities, Mike Ong Yao Heng yang antara lain membincangkan mengenai peristiwa-peristiwa ekonomi penting yang akan datang sepanjang tahun ini, nisbah kewangan utama yang digunakan untuk menentukan kesihatan kewangan sesebuah syarikat serta kajian kes.

Pengurus Besar Baiduri Capital, Peng Eng Soon dipetik menyatakan bahawa seperti kebanyakan syarikat, Baiduri Capital telah berusaha untuk mencari cara bagi mendidik para pelabur mereka selama ini tanpa perlu bersemuka.

“Melalui perkongsian bersama Phillip Securities, kami dapat memberikan perkhidmatan bermanfaat ini kepada para pelabur kami dengan cara yang berbeza namun menarik,” jelasnya.

Menurut beliau, webinar tersebut bermatlamat untuk memberikan gambaran asas mengenai pasaran dan alat untuk mengendalikan pemeriksaan kesihatan kewangan sesebuah syarikat kepada para pelabur.

Beliau juga menyatakan bahawa mereka mempunyai perancangan untuk mengadakan lebih banyak webinar pelaburan dalam masa terdekat ini.