Baiduri Care Kit bantu 60 keluarga kurang berkemampuan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Sebanyak 60 buah keluarga yang kurang berkemampuan telah dipilih untuk menerima sumbangan barangan asasi daripada Bank Baiduri menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) semasa pandemik ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, inisiatif Baiduri Care Kit itu antara lain bertujuan untuk mengurangkan beban keluarga yang kurang berkemampuan di negara ini selain sebahagian daripada ikrar bank berkenaan berganding bahu dengan masyarakat dan menyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta perniagaan tempatan.

Kenyataan menyatakan, bank berkenaan juga bekerjasama dengan The Impian Project, Dart Logistics dan Maju Grocer Supermarkets dalam inisiatif tersebut.

Penyampaian sumbangan tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 September lalu yang mana hari pertama mengagihkan 29 Baiduri Care Kit kepada keluarga di Daerah Brunei dan Muara.

Manakala itu, 10 buah keluarga terpilih di Daerah Tutong menerima sumbangan pada hari kedua dan pada hari terakhir pula, sumbangan diberikan kepada 21 buah keluarga yang terpilih di Daerah Belait dan Temburong.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik berkata, “Melihat sambutan yang menggalakkan daripada beberapa buah syarikat tempatan daripada yang kecil dan besar menyumbangkan pelbagai barangan seperti peralatan perlindungan peribadi (PPE), barangan asasi dan peralatan untuk memerangi wabak, kami juga ingin menjalankan tugas dengan memberi bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan di negara ini yang mungkin tidak mempunyai masa atau kemudahan untuk keluar dan membeli barang keperluan harian mereka.”

Menurutnya lagi, menerusi program CSR, Bank Baiduri akan menjalankan beberapa lagi projek dalam minggu-minggu akan datang untuk memberi bantuan bagi membantu menangani situasi yang dihadapi pada masa ini.

ATAS & BAWAH: Antara keluarga yang menerima sumbangan daripada inisiatif Baiduri Care Kit. – Gambar serahan Bank Baiduri