Baiduri, DARe terus latih usahawan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe), Bank Baiduri telah meneruskan lagi siri bengkel latihan kemahiran bagi usahawan tempatan buat kali ketiga hari ini.

Bengkel ketiga berkenaan mengetengahkan topik e-perdagangan dan dikendalikan oleh pengasas dan pelatih utama ClickAcademy Asia, Eu Gene Ang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, bengkel kali ini menumpukan kepada membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Brunei memahami komponen-komponen utama dalam e-perdagangan dan alat-alat berkaitan serta membimbing mereka dalam keputusan untuk melabur dalam e-perdagangan.

Salah seorang peserta, Elina Zin dari Bloom Projek dipetik mengulas bahawa bengkel berkenaan memberi peluang keyakinan dan motivasi untuk mengembangkan laman sesawangnya menjadi laman e-perdagangan apabila mereka bukan sahaja memperkenalkan strategi-strategi malah berkongsi alat-alat dan sumber percuma yang boleh digunakannya apabila mempertimbangkan untuk memasuki bidang e-perdagangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui pula menjelaskan, bengkel berkenaan adalah yang terakhir dalam siri berkenaan yang dijalankan oleh Bank Baiduri dengan kerjasama DARe bagi 2019.

“Objektif kami bagi siri ini adalah untuk membolehkan pertumbuhan PKS tempatan yang kami percaya boleh dicapai dengan memperkasa mereka menerusi pendidikan,” jelasnya lagi.

Warga Bank Baiduri dan usahawan tempatan bergambar ramai semasa bengkel tersebut. – Gambar oleh Bank Baiduri