Baiduri hargai jasa petugas barisan depan

Gambar serahan Bank Baiduri

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Bagi mengurangkan beban ke atas kakitangan perubatan yang bertugas dalam syif panjang semasa penularan wabak COVID-19 di negara ini, Kumpulan Bank Baiduri telah menghulurkan sumbangan kepada barisan depan perubatan COVID-19, hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan berupa 100 set bekalan runcit mingguan dan keperluan asas lain telah berlangsung di Kompleks Sukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Sumbangan telah diserahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hospital RIPAS, Haji Abdul Khalid As’ari bin Haji Azahari. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, sumbangan berkenaan adalah sebagai respons kepada seruan yang dibuat oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua) untuk menyokong pasukan perubatan barisan depan dan ia juga merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat bank tersebut yang telah dikembangkan untuk meliputi mereka yang memerlukan semasa tempoh COVID-19.

Mengulas mengenai inisiatif berkenaan, Pengiran Azaleen dipetik sebagai berkata, “Sumbangan ini adalah tanda penghargaan kami kepada pasukan barisan depan perubatan yang terlibat dalam COVID-19. Dengan dedikasi berterusan mereka dalam menjaga pesakit, kami memahami bahawa wira-wira ini tidak mempunyai masa untuk keluar membeli keperluan asas mereka.

“Kami berharap sumbangan ini akan dapat mengurangkan sedikit bebanan bagi barisan depan perubatan yang tidak putus-putus berjuang,” ujarnya sambil menambah sumbangan berkenaan adalah yang pertama daripada beberapa inisiatif yang telah dirancang boleh Kumpulan Bank Baiduri untuk membantu pasukan barisan depan dan pelanggan semasa tempoh mencabar ini.

Turut hadir semasa penyerahan sumbangan berkenaan ialah Ketua Perbendaharaan dan Perbankan Institusi Kumpulan, Awangku Nor Muhd Nizam bin Pengiran Haji Tengah dan Pegawai Perhubungan Kanan, Awang Muiz bin DP Haji Adnan.

Gambar ramai warga Kumpulan Bank Baiduri bersama para petugas barisan hadapan yang menerima sumbangan.
Kumpulan Bank Brunei telah menghulurkan sumbangan kepada barisan depan perubatan COVID-19, kelmarin, di mana sumbangan berupa 100 set bekalan runcit mingguan dan keperluan asas lain telah berlangsung di Kompleks Sukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).