Baiduri kendali bengkel media sosial bagi usahawan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Sebagai salah satu usahanya untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Bank Baiduri telah mengadakan bengkel media sosial yang dihadiri oleh 30 pengusaha PMKS tempatan, hari ini.

Bengkel yang dianjurkan secara dalam talian itu adalah sebagai sebahagian daripada Baiduri SME Empowerment Series dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe), untuk membantu PMKS memanfaatkan peluang di ruang digital semasa pandemik COVID-19 dan selanjutnya.

Bengkel bertajuk Baiduri SME Empowerment Series: Rising above the pandemic with social media marketing telah dikendalikan oleh pelatih bersijil ACTA, Walter Lim, yang kini menjadi pengarah dan ketua strategi kandungan untuk Cooler Insights, sebuah agensi Singapura yang pakar dalam pemasaran kandungan, SEO, pemasaran media sosial dan penceritaan jenama.

Walter memiliki pengalaman lebih 27 tahun dalam pemasaran, hubungan masyarakat, pemasaran kempen dan acara serta perancangan strategik.

Para peserta semasa bengkel sehari itu dikongsikan bagaimana COVID-19 telah mempengaruhi keseluruhan landskap perniagaan dan bagaimana mereka menggunakan internet untuk mengatasi halangan disebabkan wabak tersebut.

Bengkel itu mengkaji asas-asas pemasaran media sosial, amalan terbaik serta mengukur prestasi kempen media sosial dan lain-lain lagi.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Saluran di Bank Baiduri, Aariz Patrick Ng berkata, “Dengan sejumlah perniagaan kini beralih secara dalam talian untuk mengatasi cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik, kami berhasrat untuk menyediakan PMKS ini dengan kemahiran yang diperlukan dan alat untuk memasarkan perniagaan mereka di platform media sosial melalui bengkel ini sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk mencipta bersama dengan komuniti kami.

“Kami juga berharap perkongsian kisah-kisah kejayaan serantau melalui Cooler Insights akan memperluaskan perspektif peserta kami, memberi inspirasi kepada mereka untuk mencuba idea baharu dan giat berusaha memberi mereka kelebihan daya saing,” tambah beliau.

Di penghujung bengkel tersebut, para peserta turut mengongsikan mereka mendapat pengalaman hebat menerusi bengkel tersebut.

Semasa sesi rumusan dan penutup bengkel, salah seorang peserta turut mengongsikan mengenai perniagaan dalam talian mereka yang sudah diusahakan selama tujuh tahun di mana menerusi medium itu mereka dapat meningkatkan pengetahuan semasa dan dengan tambahan pengetahuan daripada bengkel itu, mereka mendapat pandangan tentang sifat perniagaan dalam talian yang sentiasa berkembang.