Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Baiduri ketengahkan aplikasi teknologi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Dengan matlamat untuk mengetengahkan inisiatif-inisiatif digitalnya, Bank Baiduri turut serta mempamerkan pelbagai aplikasi teknologi dan penyelesaian inovatif semasa Minggu Teknologi Digital yang berlangsung di ruang legar, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas bermula hari ini hingga 11 Jun.

    Minggu Teknologi Digital merupakan salah satu acara dalam Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022) selama lima minggu yang menumpukan kepada bidang-bidang Islamik, teknologi digital, tenaga, perubahan iklim dan ekonomi dengan mengetengahkan tema Inclusive, Resilient and Sustainable Economic Growth, Brunei Darussalam Perspective.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, hari ini, pameran bank berkenaan yang terletak di petak RS6 dan RS7, mengetengahkan pelbagai aplikasi teknologi dan penyelesaian inovatif Bank Baiduri yang dibangunkan untuk menjana sebuah pengalaman perbankan yang lebih pantas, lebih selamat dan lancar.

    Bank Baiduri menyatakan bahawa antara yang dipamerkan adalah Baiduri b.Digital Personal, iaitu perkhidmatan perbankan digital bank yang telah memenangi anugerah, penyelesaian pembayaran kad tanpa sentuhan, aplikasi mudah alih Baiduri Finance dan HP Online serta Emmi, iaitu chatbot kecerdasan buatan (AI) pertama dalam sektor perbankan Brunei.

    Turut diketengahkan adalah penggunaan Robotic Process Automation bagi operasi hari-ke-hari bank berkenaan.

    Mengulas mengenai pameran berkenaan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perkembangan Perniagaan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha berkata bahawa bank dan subsidiarinya sedang meneroka secara aktif kaedah yang lebih baik dan inovatif untuk menambah nilai bagi pelanggan-pelanggan mereka baik dari segi peringkat interaktif lebih nyata atau di peringkat back-end yang menyediakan kualiti kehidupan yang lebih baik menerusi penyampaian perkhidmatan yang lebih baik dan lebih efisien.

    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha mendengar penjelasan daripada seorang kakitangan Bank Baiduri semasa Minggu Teknologi Digital yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – Gambar serahan Bank Baiduri

    Inovasi-inovasi berkenaan, tambahnya, juga merupakan di barisan hadapan strategi bank berkenaan dan pihaknya berbangga untuk mengetengahkannya pada Minggu Teknologi Digital.

    Pengiran Azaleen berkata lagi bahawa penyelesaian digital berkenaan adalah selaras dengan visi Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) bagi Brunei menjadi sebuah Negara Pembayaran Digital.

    “Selaras dengan Peta Jalan Pembayaran Digital, Bank Baiduri telah secara berterusan mengintegrasikan pendigitalan perkhidmatan kami untuk melengkapkan perkhidmatan secara peribadi kami, mengambil pendekatan yang lebih phygital,” jelasnya.

    Kenyataan menyatakan bahawa turut hadir semasa pelancaran pameran berkenaan ialah Ketua Bahagian Maklumat dan Teknologi Kumpulan, Simon Hansman dan Ketua Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan, Ng Yick Wei.

    Semasa Minggu Teknologi Digital, orang ramai akan berpeluang untuk mengenali dan menyaksikan video serta menyaksikan demonstrasi bagi setiap penyelesaian di petak Bank Baiduri.

    MYCE merupakan acara tahunan yang mengumpulkan pemimpin-pemimpin industri dan pakar-pakar utama untuk menangani isu-isu signifikan, menyediakan penyelesaian yang boleh diambil tindakan dan menggabungkan komuniti kita daripada pelbagai sektor industri.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...