Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Kenaikan penarafan kredit jangka panjang Bank Baiduri bukan sahaja satu pencapaian yang cemerlang bagi bank tersebut, tetapi juga berita baik yang menunjukkan kekukuhan kewangan dan kekuatan bank tempatan di negara ini.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui pada sidang akhbar yang diadakan pada hari ini, di Baiduri Community Space, Tingkat 8, Ibu Pejabat Bank Baiduri, apabila mengumumkan satu lagi pencapaian penting Bank Baiduri selepas Standard & Poor’s (S&P) menaik taraf pemeringkatan kredit Bank Baiduri daripada BBB+ kepada A- pada 15 Jun 2022 lalu.
“Pemeringkatan A- meletakkan kami dalam kategori pelaburan yang kukuh dengan definisi kapasiti yang sangat kuat dalam memenuhi komitmen kewangan tetapi sentiasa terdedah kepada perubahan ekonomi yang tidak baik, kondisi dan perubahan dalam keadaan-keadaan,” tambah beliau.
Ti Eng Hui seterusnya menjelaskan bahawa sebab utama bank mengadakan penarafan adalah kerana pengurusan modal yang berhemat selama ini meskipun berdepan cabaran semasa pandemik COVID dan juga endemik, bank tersebut terus berhemat dalam pengurusan modalnya, sekali gus mencatat keuntungan yang sangat kukuh dan lebih daripada mencukupi untuk mengekalkan pertumbuhan bank dan meletakkan Bank Baiduri dalam kategori gred pelaburan yang tinggi bersama-sama dengan rakan serantau dan antarabangsa.
Selain itu, penarafan tersebut juga mencerminkan keutuhan industri kewangan Brunei terutamanya bank tempatan yang berjaya mencapai kemajuan yang luar biasa lebih-lebih lagi pencapaian dalam lima tahun kebelakangan ini, dalam membina kunci kira-kira dan membina asas pelanggan meskipun dilanda pandemik tapi masih mampu terus mencatat keuntungan. Ia setentunya merupakan satu pencapaian yang besar bagi bank-bank di Brunei.
“Dengan penarafan kredit A- sudah pasti memberi kami peluang untuk mengakses negara-negara ASEAN dan mengambil bahagian dalam integrasi ASEAN. Memandangkan negara-negara memasuki fasa endemik sekarang, ini adalah masa untuk menelitinya dan sudah pasti kami berminat bagi menerokainya jika ada peluang.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa apabila sesebuah bank membuat keputusan untuk berkembang ke luar negara, pengawal selia di luar negara dan bakal rakan kongsi juga pasti akan melihat kepada penarafan kredit bank yang ingin menjalankan perniagaan dengan mereka.
Oleh itu, dengan penarafan A- yang diperoleh pasti akan membuatkan bank berasa lebih dialu-alukan oleh pengawal selia dan bakal rakan kongsi dari sesebuah negara untuk menjalin kerjasama.
Bercakap mengenai sebab mengapa bank tersebut memutuskan untuk menjalani proses mencapai penarafan kredit melalui S&P hampir sedekad yang lalu, Ti Eng Hui berkata, “Memandangkan penarafan kredit S&P adalah standard global yang telus dan lazim digunakan, ia membolehkan kami untuk menanda aras terhadap rakan antarabangsa kami dan seterusnya mengenal pasti bidang bagi ditambah baik secara berterusan serta mempertingkat akses kepada pasaran kewangan antarabangsa.”
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Perniagaan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha yang turut hadir menyatakan bahawa dari segi proses, mereka memulakan perjalanan pada 2013 dan idea itu juga adalah untuk melihat peluang dan tumpuan yang diterima bank dalam pasaran kewangan antarabangsa terutamanya di rantau ini.
“Dari segi penarafan kredit yang lebih baik ini kepada industri kewangan di Brunei, kedua-dua bank tempatan kini diberi penarafan tinggi dan ia adalah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh Brunei, di mana dua bank tempatan paling kukuh di Brunei mampu digandingkan sepadan dengan banyak bank lain di rantau ini,” tekannya.
Dalam laporan penarafan kredit terbaharunya, Bank Baiduri telah mencatat satu lagi pencapaian penting dengan laporan tersebut apabila memperoleh A-/A-2 dengan penarafan Stable Outlook dan ia menandakan kali pertama bank tersebut mencapai penarafan A- sejak penarafan pertama pada 2014.
Menurut S&P, pemeringkatan kredit Bank Baiduri telah dinaik taraf untuk mencerminkan jangkaan mereka bahawa bank tersebut akan mengekalkan penampan modal yang baik hasil daripada pengurusan modal yang berhemat serta mampu mengekal keuntungan yang kukuh.
Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pematuhan, Tadbir Urus Korporat dan Penasihat Undang-undang Bank Baiduri, Manuel Bulens, dan Ketua Perbendaharaan Kumpulan dan Perbankan Institusi Bank Baiduri, Awangku Nor Muhammad Nizam bin Pengiran Haji Tengah.
Penjelasan mengenai proses, takrif istilah utama dan kesan penarafan kredit terhadap organisasi dan kesan positif terhadap industri perbankan dan kewangan negara serta ekonomi secara keseluruhan telah dikongsikan oleh para panel semasa sidang media tersebut.
Penarafan kredit ialah pendapat-pendapat tentang risiko kredit, yang menyatakan pendapat agensi penarafan tentang keupayaan dan kesediaan penerbit, seperti perbadanan atau kerajaan negeri atau bandar, untuk memenuhi kewajipan kewangannya secara sepenuhnya, dan ia juga boleh menandakan kualiti kredit terbitan hutang individu, seperti bon korporat atau perbandaran, dan kemungkinan terbitan tersebut menemui kegagalan membayar.