Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiduri lancar aplikasi perbankan serba baharu

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Dengan objektif untuk meningkatkan pengalaman dan penglibatan pelanggan, Bank Baiduri telah mendedahkan platform perbankan dan gaya hidup digital serba baharu dengan pelancaran Baiduri b.Digital Personal.

    Platform baharu ini merangkumi frasa ‘be digital’ dan direka untuk memberikan pengalaman digital serba baharu kepada pengguna, Bank Baiduri menjelaskan dalam kenyataan mengumumkan pelancaran berkenaan, hari ini.

    Kenyataan menjelaskan, aplikasi baharu berkenaan didatangkan dengan antara muka pengguna (UI) yang dipertingkatkan dan dioptimumkan bagi penggunaan satu
    tangan.

    Dengan aplikasi berkenaan, para pelanggan dengan mudah melaksanakan pelbagai tugas seperti membayar bil, membeli tambah nilai, membuat arahan tetap dan melihat akaun atau penyataan secara langsung daripada peranti mudah alih.

    Di samping susun atur dan ciri-ciri yang diperbaiki, aplikasi berkenaan juga menyediakan pilihan daftar masuk biometrik menerusi pengecaman muka atau cap jari bagi proses daftar masuk lebih cepat dan lancar.

    Aplikasi Baiduri b.Digital Personal membawakan pelbagai pembaharuan bagi kemudahan pelanggan. – Gambar serahan Bank Baiduri

    Sementara itu, pilihan ciri ‘Quick Balance’ membolehkan pengguna melihat baki akaun tertentu dengan mudah tanpa perlu daftar masuk.

    Pengesahan pembayaran juga lebih mudah dan lebih terjamin dengan aplikasi ini. Apabila pelanggan membuat transaksi dalam talian, aplikasi menjana kod terjamin menerusi ciri ‘Soft Token’ yang tidak memerlukan sebarang sambungan rangkaian atau token fizikal yang membuatkan pengesahan transaksi lebih mudah sama ada pelanggan berada di rumah atau luar negara.

    Satu ciri baharu yang menarik adalah bahagian tawaran gaya hidup yang membawakan promosi-promosi sedang berjalan dan keistimewaan-keistimewaan kad Baiduri. Di samping itu, ia juga mempunyai fungsi e-kupon di mana pengguna boleh membeli dan berkongsi e-kupon tanpa perlu mengakses aplikasi berasingan.

    Kenyataan menambah, versi web pula mempunyai fungsi ‘Savings Goal’ yang membolehkan pelanggan menetapkan sasaran simpanan dan memerhatikan kemajuan.

    Alat perancangan kewa-ngan ini mengintegrasikan perbankan ke dalam kehidupan harian pelanggan, oleh itu membolehkan gaya hidup digital dengan kelajuan dan akses lebih baik kepada pelbagai perkhidmatan.

    Menurut kenyataan, aplikasi berkenaan adalah langkah pertama dalam gelombang tawaran inovasi digital yang dirancang oleh bank berkenaan. Menerusi kolaborasi bersama syarikat-syarikat dan startup FinTech, bank berkenaan berharap untuk menggunakan platform perbankan digital berkenaan untuk membangunkan dan menawarkan penyelesaian perbankan dan kewangan inovatif pada masa depan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik menyatakan bahawa pengenalan b.Digital Personal adalah pencapaian sangat penting dalam perjalanan digital mereka.

    “Ia adalah sebahagian daripada usaha transformasi keseluruhan Baiduri dan permulaan perjalanan digital yang kami harap akan memperbaiki pengalaman pelanggan, bermula dengan b.Digital Personal bagi pelanggan individu dan diikuti dalam masa terdekat dengan b.Digital Business bagi pelanggan korporat dan perniagaan,” ujarnya.

    Kenyataan memaklumkan bahawa sebagai sebahagian daripada kempen pelancaran platform serba baharu berkenaan, Bank Baiduri juga memberi ganjaran kepada para pelanggannya dengan mengadakan cabutan bertuah.

    Pelanggan yang menggunakan platform berkenaan untuk membuat transaksi perbankan seperti membayar bil atau pemindahan dana berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda