Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Baiduri membeli-belah untuk keluarga kurang berkemampuan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Untuk tahun keenam berturut-turut, Bank Baiduri menganjurkan inisiatif Let’s Give Back This Ramadan yang merupakan siri acara yang bertujuan untuk membawa kemeriahan perayaan kepada keluarga kurang berkemampuan di keempat-empat daerah sebagai persiapan menyambut Hari Raya.

    Menurut kenyataan Bank Baiduri, pada tahun-tahun sebelumnya, pihak bank akan membawa keluarga berkenaan untuk membeli-belah dan mengakhiri acara dengan berbuka puasa bersama-sama, namun disebabkan situasi semasa, sukarelawan bank bertindak sebagai ‘pembeli-belah peribadi’ dan membantu membeli barangan rumah dan keperluan bagi pihak keluarga yang kurang bernasib baik.

    Seperti tahun lepas, inisiatif tahun ini dianjurkan melalui Baiduri Cares, program dalaman di mana kakitangan Bank Baiduri dan anak-anak syarikatnya digalakkan untuk melaburkan masa, kemahiran dan usaha mereka untuk memberi kembali kepada masyarakat dan memberi impak positif kepada masyarakat dengan terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan.

    Sejak dua hari lalu, para sukarelawan membeli-belah di Sim Kim Huat (SKH), Sungai Hanching, bagi 20 buah keluarga di Daerah Brunei dan Muara dan 10 keluarga di Daerah Temburong. 

    Bank juga meneruskan perkongsiannya dengan Dart Logistics, bagi membantu menghantar barangan runcit serta makanan yang disediakan untuk keluarga berkenaan berbuka puasa.

    Para keluarga dikenal pasti melalui The Impian Project, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan untuk menangani isu sosial di Brunei dengan membantu meningkatkan kebajikan golongan yang lemah dan kurang upaya di negara ini.

    Sukarelawan bank akan membeli-belah untuk keluarga di Tutong pada 25 April dan terakhir untuk keluarga di Kuala Belait pada 26 April.

    ATAS & BAWAH: Sukarelawan Bank Baiduri membeli-belah untuk keluarga yang kurang bernasib baik di bawah inisiatif Let’s Give Back This Ramadan. – Gambar serahan Bank Baiduri

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...