Saturday, October 1, 2022
24.8 C
Brunei

Baiduri meterai MoU dengan PBSM

-

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Sebagai sebahagian daripada komitmennya kepada tanggungjawab sosial korporat dan sokongan ke arah pendekatan seluruh negara, Bank Baiduri berbesar hati kerana dapat menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan untuk menangani serta mengurangkan kadar penyakit tidak berjangkit dan kematian pramatang di negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam dan Bank Baiduri yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyaksikan mercu tanda berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

Penandatanganan MoU itu adalah untuk membangunkan sebuah program bagi melatih dan mengiktiraf kakitangan Kumpulan Bank Baiduri dalam pertolongan cemas.

Dalam kata alu-aluannya lagi, Ti Eng Hui juga mengongsikan hubungan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan di mana mereka telah bekerja dengan Pusat Resusitasi Kebangsaan (NRC) pada 2009 di mana Bank Baiduri telah menyumbang kepada peralatan di NRC.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Juja Kim ketika menyampaikan ucapan.

Usaha itu telah membantu untuk mempromosikan peningkatan jumlah pemberi pertolongan cemas yang berkelayakan dalam Kumpulan Bank Baiduri di mana sejak 2009, lebih daripada 600 orang kakitangan telah dilatih dalam asas pertolongan cemas, CPR dan dalam bidang berkaitan kesihatan yang lain termasuk keselamatan dan kesihatan tempat kerja dan kemahiran keselamatan peribadi.

Selain itu, sejak 2020, bank berkenaan juga mempunyai sebuah inisiatif yang dipimpin sepenuhnya oleh kakitangannya, Inisiatif Kesejahteraan Pekerja.

Menerusi inisiatif berkenaan, mereka telah bekerja dengan aktif ke arah sebuah pendekatan holistik kepada mempromosikan kesihatan spiritual, emosional dan mental bersama-sama kesejahteraan kewangan selaras dengan serta menyokong ke arah visi Kementerian Kesihatan iaitu bersama ke arah sebuah negara sihat.

Dalam kata alu-aluannya lagi, Ti Eng Hui menyatakan bahawa matlamat mereka menerusi kerjasama dengan PBSM adalah untuk melengkapkan lebih ramai kakitangan mereka dengan ilmu pengetahuan dalam asas pertolongan cemas dan CPR serta untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan mental dalam komuniti yang semakin meningkat semasa pandemik COVID.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Serantau bagi Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) Asia Pasifik, Juja Kim dalam kata alu-aluannya menyambut baik usaha, kerjasama dan inisiatif yang diambil oleh Bank Baiduri dan PBSM Negara Brunei Darussalam untuk membantu program bagi melatih kakitangan bank berkenaan dalam pertolongan cemas.

Pada majlis itu, menandatangani MoU bagi pihak Bank Baiduri ialah Ti Eng Hui dengan Ketua Pentadbiran dan Sumber Manusia Kumpulan, Veronica Chong dan menandatangani bagi pihak PBSM Negara Brunei Darussalam ialah Presiden PBSM, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Presiden bagi Operasi dan Hubungan Kerajaan PBSM, Haji Muhd Suhaimi bin Haji Ibrahim.

Menerusi kerjasama itu, PBSM Negara Brunei Darussalam akan melatih dua orang kakitangan Bank Baiduri melalui persijilan Train-the-Trainer, dalam pertolongan cemas mental dan pertolongan cemas perubatan.

Kedua-dua kakitangan berkenaan kemudian akan dapat melatih rakan-rakan sekerja mereka dalam pertolongan cemas mental dan juga pertolongan cemas perubatan.

Majlis yang juga bertepatan dengan Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2022 pada 10 September itu, diteruskan dengan seminar sehari yang menumpukan kepada tema sambutan iaitu ‘Pembelajaran Pertolongan Cemas Sepanjang Hayat’.

Ia merangkumi bengkel mengenai pentingnya mempelajari mengenai pertolongan cemas serta keselamatan dan kesihatan tempat kerja oleh Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA), Brunei Asia Pacific Learning Hub, PBSM Negara Brunei Darussalam dan Bank Baiduri.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China: Tiada siapa berhak guna veto nasib rakyat Palestin

BEIJING, 29 SEPT - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi...
- Advertisment -