Baiduri rangkul lagi Anugerah Bank Runcit Domestik Terbaik 2020

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Bank Baiduri, buat tahun kelapan berturut-turut telah menerima anugerah Bank Runcit Domestik Terbaik 2020 bagi Brunei daripada majalah Asian Banking & Finance.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, mengucapkan terima kasih kepada pelanggan dan pihak berkepentingan atas kesetiaan dan sokongan mereka selama ini.

“Kami berbesar hati kerana diiktiraf oleh majalah Asian Banking & Finance sebagai Bank Runcit Domestik Terbaik bagi Brunei untuk lapan tahun berturut-turut,” tambah beliau.

Kenyataan menyatakan, tidak ada majlis penyampaian anugerah diadakan pada tahun ini disebabkan pandemik COVID-19.

Bercakap semasa telesidang mengenai usaha-usaha yang dilakukan oleh bank berkenaan tahun lalu, Ketua Perbankan Runcit Bank Baiduri, Lim Kian Chiong berkata, bahagian perbankan runcit bank berkenaan telah melalui beberapa penambahbaikan untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggannya yang daripada berbagai-bagai latar belakang.

“Antaranya ialah pelancaran Baiduri b.Digital, platform perbankan internet kami yang diperbaharui, yang mengutamakan pengalaman pengguna pelanggan dengan antara muka baharu dan lebih banyak ciri,” tambah beliau semasa temu bual bersama Ketua Editor Asian Banking & Finance, Tim Charlton.

Sejak pelancaran Baiduri b.Digital, transaksi pada platform berkenaan telah meningkat sebanyak 50 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Bank Baiduri telah mengambil beberapa inisiatif untuk membangunkan dan mengembangkan perniagaan-perniagaan tempatan, memperbaiki literasi kewangan menerusi pelbagai seminar dan bengkel, pembangunan e-dompet serta bekerjasama dengan dua syarikat antarabangsa untuk membangunkan modal insan mereka.

“Semua faktor ini telah menyumbang kepada kemenangan Anugerah Bank Runcit Domestik Terbaik bagi Brunei,” ujarnya lagi.

Bank Baiduri sekali lagi diiktiraf sebagai Bank Runcit Domestik Terbaik 2020 bagi Brunei oleh majalah Asian Banking & Finance, buat kali kelapan berturut-turut. – Gambar serahan Bank Baiduri