Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Bank Baiduri dengan kerjasama Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah memperkenalkan set kad jenama bersama pertama di Brunei iaitu kad debit dan kredit Visa RB oleh Bank Baiduri.
Majlis pelancaran kad-kad berkenaan telah diadakan di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Baiduri, hari ini, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir ialah ahli-ahli kanan pasukan pengurusan Bank Baiduri dan RB.
Pelancaran Kad Visa RB itu telah disempurnakan bersama oleh Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Martin Aeberli.
Ti Eng Hui dalam ucapan alu-aluannya berkata, mereka sangat berbangga dapat menjalinkan antara Bank Baiduri dan RB.
“Kami gembira dapat mengembangkan perkongsian berpanjangan bersama RB dengan satu lagi pelancaran yang pertama kali dalam pasaran dengan Kad Visa RB oleh Bank Baiduri,” ujarnya.
Beliau seterusnya menjelaskan, Kad Visa RB berkenaan memenuhi keperluan semua segmen pelanggan.
“Walaupun kita tidak dapat melakukan perjalanan pada masa ini, kita sudah dapat mulai mengumpulkan Royal Skies Miles dengan menggunakan kad ini dalam perbelanjaan seharian, maka apabila sempadan dibuka kelak, kita akan mempunyai miles yang cukup untuk menebus penerbangan bagi percutian seterusnya,” jelas beliau.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Kad Visa RB adalah kad pembayaran dan perjalanan berjenama bersama (co-branded) pertama di Brunei yang dilengkapi dengan teknologi pembayaran tanpa sentuhan terkini.
Bagi mereka yang gemar melancong, kad tersebut dilengkapi dengan faedah dan keistimewaan yang tiada tandingannya, termasuk saluran pantas untuk mendapatkan Royal Skies Miles.
Pemegang kad akan memperoleh miles pada harga yang menarik melalui perbelanjaan seharian seperti bahan makanan, utiliti dan tempat makan, dan dua kali lebih banyak apabila mereka menggunakan kad mereka di mana-mana Pusat Perkhidmatan Pelanggan RB atau dalam talian.
Bertepatan dengan pelancaran itu, semua pemohon yang berjaya memohon Kad Kredit Visa RB akan menerima pengecualian yuran tahunan selama empat tahun dan se-hingga 6,000 Royal Skies Miles dengan syarat ia adalah kad Baiduri pertama mereka.
Selain itu, bermula hari ini hingga lewat Januari 2021, semua pemegang Kad Visa RB secara automatik akan dimasukkan ke dalam cabutan bertuah untuk memenangi sehingga 100,000 Royal Skies Miles apabila mereka mengaktifkan kad mereka dan peluang tambahan untuk setiap $50 yang dibelanjakan menggunakan kad mereka. Pemegang kad juga berpeluang memenangi keahlian Royal Skies Silver.