Baiduri sokong individu, perniagaan terkesan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Selaras dengan garis panduan Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), Bank Baiduri terus menyediakan langkah-langkah bantuan bagi individu dan perniagaan yang terkesan dari segi kewangan oleh penularan wabak COVID-19.

Dalam mematuhi garis panduan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan dalam usaha membendung penularan komuniti COVID-19, bank berkenaan telah melaksanakan saluran permohonan tanpa kontak dan digital bagi langkah-langkah bantuan berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, hari ini, bagi bantuan kepada individu, bank berkenaan menawarkan penangguhan bagi pembayaran balik pokok di mana individu-individu terkesan boleh memohon bagi menangguhkan pembayaran pokok bagi pinjaman peribadi, pembiayaan rumah, pinjaman hartanah sehingga 31 Disember 2021.

Mereka akan terus membayar faedah pinjaman mereka semasa tempoh penangguhan.

Kenyataan menyatakan bahawa sebagai tambahan, kesemua yuran pemprosesan yang berkaitan kecuali yuran pihak ketiga akan ditiadakan dan kesemua permohonan adalah tertakluk kepada penilaian bank.

Gambar fail menunjukkan kakitangan Bank Baiduri di salah sebuah cawangan bank berkenaan.

Individu yang terkesan juga boleh memohon bagi penstrukturan semula pinjaman-pinjaman peribadi mereka yang sedia ada bagi tempoh lanjutan sehingga kepada 10 tahun.

Kesemua yuran pemprosesan yang berkaitan kecuali yuran pihak ketiga akan ditiadakan dan kesemua permohonan adalah tertakluk kepada penilaian bank.

Bank juga menawarkan pelan pembayaran ansuran kad kredit di mana individu yang terkesan boleh memohon bagi menukar baki kad kredit yang tertunggak sebanyak $500 dan ke atas kepada sebuah pinjaman ansuran dengan tempoh maksimum sehingga tiga tahun.

Untuk memohon bagi bantuan berkenaan, individu-individu yang berkelayakan boleh menghadapkan permohonan melalui e-mel, [email protected] dengan kesemua dokumen-dokumen sokongan.

Di samping itu, pelanggan juga boleh menghantar dokumen-dokumen yang lengkap ke dalam peti yang disediakan di Cawangan Utama Bank Baiduri atau di Cawangan Seria semasa waktu perbankan.

Manakala itu, bantuan bagi perniagaan, pihak bank terus menyokong syarikat-syarikat yang terkesan oleh penularan wabak COVID-19 dengan menawarkan penangguhan sementara pembayaran balik pokok bagi kemudahan-kemudahan yang sedia ada sehingga 31 Disember 2021 dengan pembayaran faedah terus dilakukan seperti biasa.

Bagi penangguhan kemudahan pinjaman atau kredit yang lain untuk pelanggan Perbankan Perniagaan, permohonan boleh dihantar melalui e-mel, [email protected] dengan dokumen-dokumen yang lengkap.

Mereka juga boleh menghantar dokumen berkenaan ke peti yang ditempatkan di Cawangan Utama Bank Baiduri atau Cawangan Seria semasa waktu perbankan.

Bagi penangguhan pinjaman atau kemudahan kredit lain bagi pelanggan Perbankan Korporat, syarikat-syarikat yang layak boleh berhubung terus pegawai perhubungan akaun mereka atau pengurus atau menghubungi talian 2268328 (Cawangan Utama Bank Baiduri) bagi bantuan. Permohonan boleh dihantar menggunakan peti yang disediakan di Cawangan Utama Bank Baiduri atau Cawangan Seria semasa waktu perbankan.

Bagi memudahkan pembayaran dalam talian semasa pandemik ini, pemindahan dana dalam talian percuma di antara bank-bank tempatan seperti ACH dan RTGS, dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Yuran bagi melaksanakan arahan perbankan bagi pemindahan bank tempahan dalam talian juga ditiadakan.

Maklumat penuh bagi terma, kelayakan dan dokumen yang diperlukan bagi individu dan perniagaan dapat diperoleh di laman langkah-langkah sokongan COVID-19 bank berkenaan, www.baiduri.com.bn/covid-support-measures.

Borang-borang permohonan juga boleh dimuat turun daripada laman berkenaan. Bagi mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi 24-hour Customer Helpline, 2449666.