Baiduri sumbang 100 komputer riba

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Dalam usaha untuk membantu Kementerian Pendidikan dalam menyediakan peranti untuk pelajar-pelajar yang dikenal pasti bagi meneruskan pembelajaran mereka di rumah semasa penularan pandemik ini, Bank Baiduri menyampaikan sumbangan komputer riba pada majlis yang berlangsung di Kementerian Pendidikan, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, sumbangan berkenaan yang merangkumi 100 unit komputer riba dan aksesori itu diterima oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohd Norilham bin Haji Jais daripada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkembangan Perniagaan), Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.

Turut hadir semasa majlis penyampaian sumbangan itu ialah Ketua Institusi Perbankan dan Perbendaharaan Kumpulan, Bank Baiduri, Awangku Nor Muhammad Nizam bin Pengiran Haji Tengah.

Pengiran Azaleen dipetik menyatakan bahawa semasa pandemik, usaha untuk memastikan bahawa para pelajar mempunyai keupayaan untuk terus belajar merupakan salah satu perkara penting, kita sebagai sebuah komuniti dapat laksanakan secara kolektif.

Beliau berharap dengan sumbangan peranti itu, ia akan menyediakan peluang bagi pelajar-pelajar yang mungkin tidak berkemampuan untuk mendapatkan akses kepada peranti itu serta tidak dapat mengambil bahagian dalam pembelajaran atas talian.

Sejak penutupan sekolah disebabkan gelombang kedua penularan pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan telah memulakan Kempen Sumbangan Peranti dengan matlamat untuk menyediakan komputer riba dan alat bantuan pembelajaran yang lain kepada pelajar-pelajar yang tidak mempunyai akses.

Pengiran Azaleen menyatakan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan bagi sokongan yang diberikan olehnya kepada pelajar-pelajar berkenaan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada pelajar-pelajar dalam pengajian serta peperiksaan yang akan diduduki.

Awang Mohd Norilham, Pengiran Azaleen dan Awangku Nor Muhammad Nizam bergambar ramai semasa majlis penyampaian sumbangan berkenaan. – Gambar serahan Bank Baiduri