Baiduri sumbang peralatan perlindungan diri

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Dalam membantu pasukan perubatan memerangi wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Kumpulan Bank Baiduri telah menyumbangkan peralatan perlindungan diri (PPE) yang disampaikan pada majlis yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sumbangan yang merangkumi 240 kit perlindungan universal (UPK) berkenaan telah diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dan diserahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen dipetik menyatakan, “Sepanjang tugas mereka, petugas penjagaan kesihatan kita berdepan risiko jangkitan dan bergantung pada PPE untuk melindungi diri mereka. Kami berharap sumbangan UPK ini akan dapat menjaga keselamatan mereka dan membolehkan mereka meneruskan khidmat tidak ternilai dalam merawat pesakit-pesakit COVID-19 sepanjang masa.”

UPK berkenaan merangkumi penutup muka dan mata, apron perlindungan berlengan panjang, pengelap kulit, sarung tangan dan barangan lain.

Pengiran Azaleen menjelaskan lanjut bahawa sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada pendekatan komprehensif kumpulan bank berkenaan ke arah membantu negara semasa pandemik COVID-19 ini.

“Selain PPE ini, Kumpulan Bank Baiduri pada 25 Mac dan 1 April lalu juga telah menyumbangkan sebanyak 200 set bekalan barangan runcit selama seminggu untuk petugas perubatan barisan depan di Kompleks Sukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong kerana kami memahami bahawa mereka mungkin tidak mempunyai masa untuk membeli-belah memandangkan jadual mereka yang padat. Sumbangan ini adalah tanda penghargaan kami kepada petugas perubatan barisan depan atas dedikasi dan komitmen mereka, terutamanya dalam masa yang sukar ini,” tambah beliau.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham ketika menerima sumbangan daripada Pengiran Azaleen.