Baiduri tambah ATM di OneCity

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Bank Baiduri untuk meningkatkan kepuasan dan jangkauan pelanggannya, bank berkenaan menambahkan lagi ATM di Kompleks Membeli-belah OneCity.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, hari ini, ATM terbaharu itu merupakan ATM ke-54 bagi bank berkenaan dan ia mengembangkan lagi jangkauan ATM bank berkenaan kepada 36 buah lokasi.

ATM itu mengetengahkan perkhidmatan tambah nilai prabayar, pembayaran bil, simpanan tunai dan pengeluaran tunai. Ketua Perbankan Kumpulan Elektronik, Andy Lai menyatakan bahawa bagi memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan mereka, bank itu sentiasa menyediakan akses yang mudah bagi perkhidmatan perbankan mereka.

Beliau menambah bahawa kesemua ATM mereka ditempatkan di lokasi yang strategik di kawasan-kawasan komersial dan membolehkan pelbagai perniagaan serta individu untuk melakukan aktiviti perbankan mereka dengan cepat dan mudah.

Kompleks Membeli-belah OneCity merupakan lokasi yang baik kerana ia adalah pusat membeli-belah bagi ramai penduduk dan perniagaan di kawasan sekeliling itu, jelasnya lagi.