Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Baiduri terima 2 anugerah ABF

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Bank Baiduri telah menerima Anugerah Bank Runcit Domestik Brunei bagi tahun ke-10 berturut-turut manakala itu, Baiduri Finance buat julung kalinya dianugerahkan sebagai Syarikat Kewangan Tahunan Brunei, semasa Anugerah Perbankan Runcit Asian Banking & Finance (ABF) 2022.

    Menurut ABF, bank berkenaan telah dianugerahkan atas penggunaan pendigitalan yang berkesan bagi mengukuhkan keupayaan perkhidmatan bank dan komitmen untuk meningkatkan perjalanan perbankan pelanggan mereka.

    Sementara itu, Baiduri Finance telah dianugerahkan sebab menunjukkan daya pemulihan dan pendekatan pro-aktif mereka untuk menyokong syarikat-syarikat dan individu yang terjejas melalui penyelesaian inovatif.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik berkata, “Pelanggan, rakan-rakan dan kakitangan kami adalah teras dalam apa yang kami lakukan, oleh itu mereka memainkan peranan besar ke arah kejayaan kami.

    “Sebagai organisasi tempatan, kami sangat gembira diiktiraf sebagai Bank Runcit Domestik terbaik bagi tahun ke-10 berturut-turut dan bagi Baiduri Finance diiktiraf sebagai Syarikat Kewangan Tahunan,” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan atas sokongan mereka.

    Semasa temu bual menerusi video bersama Editor Penyumbang Majalah ABF, Simon Hyett, Ketua Perbankan Runcit, Bank Baiduri, Lim Kian Chiong menyentuh beberapa faktor yang membawa kepada kemenangan anugerah itu.

    Menurut beliau, apabila negara melaksanakan sekatan separa pada Ogos tahun lalu, mereka bersedia untuk memenuhi keperluan kewangan pelanggan dari jauh melalui Baiduri b.Digital Personal.

    “Antara September 2020 dan September 2021, kami menyaksikan peningkatan 53 peratus dalam purata transaksi bulanan dan peningkatan 52 peratus dalam pangkalan pengguna aktif kami,” kongsi Lim Kian Chiong lagi.

    Manakala temu bual berasingan bersama Pengarah Urusan Baiduri Finance, Haji Haliluddin bin Dato Haji Talib antara lain menjelaskan, anugerah berkenaan merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kepimpinan pasaran dan komitmen ke arah peningkatan berterusan.

    Anugerah Perbankan Runcit ABF memberi penghormatan kepada bank cemerlang yang telah memperkenalkan produk dan perkhidmatan perbankan runcit yang terbukti menjadi pengubah industri.

    Pencalonan tahun ini juga telah dinilai oleh panel yang terdiri daripada pemimpin industri terkemuka dari Ernst & Young, Deloitte, PwC dan Bain & Company.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...