Baiduri terima pensijilan PCI-DSS V3.2.1

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Bank Baiduri menunjukkan komitmennya terhadap standard keselamatan data tertinggi untuk lapan tahun berturut-turut apabila ia diperakui semula dengan Standard Keselamatan Data Industri Kad Bayaran (PCI-DSS) V3.2.1.

Menurut kenyataan yang diterima Bank Baiduri, hari ini, Standard PCI-DSS merangkumi beberapa aspek yang berkaitan dengan melindungi kerahsiaan pelanggan dan data seperti pengendalian data oleh sistem bank, mengawal kecurian data serta penggodaman berasaskan internet.

ControlCase, pembekal global penyelesaian pematuhan, keselamatan maklumat dan pengurusan risiko, menilai dan memperakui Bank Baiduri sebagai mematuhi PCI-DSS V3.2.1 pada 5 Oktober 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, berkata, “Kami pertama kali diperakui mematuhi PCI-DSS pada 2014 dengan V2.0 dan telah mengekal dan mempertingkat lagi standard yang semakin ketat. Kami berjaya mencapainya melalui pengukuhan teknologi keselamatan data dan keupayaan untuk menyediakan pelanggan kami dengan kualiti perkhidmatan yang dijangka oleh mereka berdasarkan standard keselamatan data industri tertinggi.

“Setiap tahun, kami berusaha untuk menyediakan kaedah terbaik untuk menjamin keselamatan dan perlindungan data pelanggan kami demi memperkukuh lagi keyakinan mereka terhadap bank. Kami berasa bangga kerana berjaya menerima pengiktirafan antarabangsa ini selama lapan tahun berturut-turut, sekali gus menambah kepada pencapaian kami dalam bidang perbankan.”

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Ketua Pegawai Teknologi Bank Baiduri, Dimon Hansman berkata, “Selaras dengan standard industri tertinggi, membekalkan persekitaran yang selamat untuk data yang kami kendalikan adalah amat penting. Perlindungan privasi dan keselamatan data merupakan bidang yang diutamakan oleh Bank Baiduri.

Beliau menjelaskan bahawa perakuan PCI-DSS melambangkan mercu tanda penting untuk keselamatan data dalam operasi harian bank dan kumpulan kakitangan bank telah bekerja keras dalam tempoh beberapa bulan lalu untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Standard Keselamatan Data Industri Kad Bayaran digunakan oleh semua jenama kad utama sebagai standard keselamatan am untuk program pematuhan mereka. Versi PCI-DSS 3.2.1, standard terkini yang terdiri daripada langkah-langkah yang mencerminkan amalan keselamatan terbaik seperti membina dan mengekalkan rangkaian sistem yang selamat, melindungi data pemegang kad, menyelenggarakan program pengurusan, melaksana langkah kawalan akses yang kukuh, memantau dan menguji rangkaian serta mengekalkan dasar keselamatan maklumat.

Standard tersebut telah disokong oleh jenama kad utama (Visa, Mastercard, Discover Network, American Express dan JCB) untuk melindungi maklumat pelanggan dan mewajibkan peniaga dan pembekal perkhidmatan memenuhi dan mengekalkan standard keselamatan yang ketat apabila mereka memproses dan mengeluarkan data pemegang kad.