Pelakon remaja Indonesia, Ibrahim Khalil Alkatiri atau lebih dikenal sebagai Baim Cilik tampil berkongsi berita sedih berdepan masalah kewangan setelah ditinggalkan oleh ayah kandungnya iaitu Halil sejak tahun 2022.
Menurut laporan TribunNews, Baim, 19, berkata dia terpaksa keluar mencari rezeki sendiri kerana perlu membayar yuran dan perbelanjaan persekolahan. Cerita Baim, sejak orang tuanya bercerai, dia hanya menerima nafkah selama lima bulan sahaja dan bapanya itu mula mengabaikan tanggungjawab berkenaan.
“Awal 2022, saya sangat tertekan, saya jatuh dan akhirnya bangun sendiri atas sokongan daripada ibu dan abang. Tak apa saya boleh, syukur saya masih ada orang sekeliling yang sayang dengan saya,” katanya.
Bagi menanggung perbelanjaan untuk diri sendiri dan keluarga, Baim memberitahu dia menjalankan perniagaan minyak wangi dan susu kambing. Malah, dia terfikir untuk kembali aktif dalam industri hiburan supaya dapat menjana lebih pendapatan.
“Saya cuma terfikir kenapa dia (bapa) buat begini, kenapa tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ayah. Sekarang ini saya nak balik semula ke dunia hiburan, tapi saya perlu ikut step by step semula, bermula daripada awal. Saya nak buktikan pada ayah, kalau saya tetap boleh berjaya meski tanpa bantuannya,” ujarnya. – Agensi