LONDON, 28 JUN – Polis British berkata mereka telah menahan beberapa pembantah, dipercayai bersama kumpulan aktivis iklim Extinction Rebellion, selepas baja asli dibuang di luar pejabat akhbar Daily Mail di London semalam.
“Pada kira-kira 6:40 pagi, sekumpulan pembantah membuang baja asli daripada sebuah trak di luar bangunan komersial di Young Street, Kensington,” kata Polis Metropolitan dalam satu kenyataan.
“Mereka memanjat aram-aram di luar bangunan dan menggantung kain rentang di bangunan,” tambah polis.
“Polis menahan lima orang atas kesalahan di bawah Seksyen 148 Akta Lebuh Raya. Empat daripada lima pembantah juga ditahan kerana disyaki mengakibatkan kerosakan harta benda.”
Polis juga menahan seorang lelaki berusia 54 tahun ketika dia cuba membuang baja asli
di laluan pejalan kaki di luar premis komersial di Jalan Istana Buckingham, berdekatan dengan kediaman Ratu Elizabeth II.
Keenam-enam mereka masih dalam tahanan.
Laman Twitter Extinction Rebellion menyiarkan video bantahan Daily Mail, tatkala kumpulan itu mendakwa bertanggungjawab atas tindakan tersebut. – AFP