KUALA LUMPUR – Ruang tanah yang terhad di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, di sini, bukanlah alasan untuk penduduknya tidak menjalankan aktiviti berkebun.
Menerusi projek Kebun Bandar Damai Sari sejak Mac tahun lepas, hampir 30 penduduknya kini aktif menjalankan aktiviti berkebun.
“Setiap hari, ada sahaja kegiatan dijalankan sama ada menyiram, menggemburkan tanah, membuat baja kompos atau menyemai benih baharu. Aktiviti berkebun bukan sahaja banyak membantu menjimatkan kos di dapur tetapi juga membuatkan kami lebih sihat dengan mengeluarkan peluh setiap hari,” kata Pengurus Kebun Bandar Damai Sari Mohd Fazil Md Noor, 51.
Lebih menarik, kebun yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini menjadikan sisa makanan dan dedaun kering sebagai baja organik agar tanaman tumbuh lebih segar dan subur.
Mohd Fazil berkata penggunaan baja organik lebih selamat untuk tumbuhan, tanah, alam sekitar dan manusia selain bukan sahaja boleh menjimatkan wang sekali gus mampu menjana pendapatan sampingan.
“Tujuannya hanya satu, kita mahu kembali kepada zaman dulu-dulu yang hanya bergantung kepada alam semula jadi dan mengelak daripada menggunakan sebarang bahan kimia,” katanya kepada Bernama.
Justeru, katanya, semua penduduk bersama-sama mengumpulkan sisa makanan dan dedaun kering untuk dikitar semula bagi menghasilkan baja organik.
“Semua sisa makanan ini seperti air basuhan beras, kulit bawang, kulit buah tembikai, kulit kerang dan tulang ikan serta dedaun kering akan diproses untuk dijadikan baja. Ia bukan sahaja selamat terhadap alam sekitar, tetapi juga dapat menjimatkan kos.
“Proses kitar semula untuk dijadikan baja kompos ini juga membantu menjimatkan kawasan tapak pelupusan sampah,” katanya.
Tanaman di Kebun Bandar Damai Sari dibahagikan kepada lima sektor iaitu akuaponik, hidroponik, tanaman dalam pasu, tanaman atas tanah dan tanaman herba untuk menanam pelbagai jenis sayuran seperti sawi, kacang buncis, kobis, cili, kacang panjang, pucuk ubi, daun kesom, pegaga, terung, bendi, kacang botol dan bayam brazil.
“Kita memanfaatkan penggunaan tanah sebaik mungkin seperti mengaplikasi sistem akuaponik iaitu teknologi pertanian menggabungkan sistem tanaman dan akuakultur yang mana tangki air menternak ikan talapia, ikan keli serta udang galah akan membantu tanaman seperti sawi mendapatkan air dan baja organik.
“Kita juga menggunakan bekas sabun terpakai yang dibeli daripada penduduk dengan harga RM1 sebotol sebagai pengganti kepada pasu,” katanya. Jelas Mohd Fazil, aktiviti berkebun itu bukan sahaja mengindahkan landskap di kawasan perumahan, malah mewujudkan komuniti petani moden atau kebun bandar di tengah kesibukan kehidupan warga ibu kota.
“Atas kesungguhan ini juga, kebun ini turut dipilih menjadi anak angkat kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp),” katanya.
Suri rumah Mariam Yaacob, 44, berpendapat aktiviti berkebun membantu mengisi masa terluangnya terutama sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya memang tidak pernah berkebun. Ini pengalaman pertama saya sepanjang 12 tahun menetap di sini, bukan sahaja dapat berbakti kepada tanah tetapi membantu saya beriadah agar lebih sihat, malah, hasil tanaman yang ditanam sendiri juga lebih enak dan segar ke-rana ia bebas daripada bahan kimia,” katanya. – Bernama