KENINGAU, 26 Okt – Pengarah Pertanian Sabah Datuk Idrus Shafie hari ini mendedahkan berlakunya kegiatan menjual baja tiruan yang menggunakan nama baja berjenama secara berleluasa di Sabah.
Menurutnya, beliau telah memperolehi fakta-fakta mengenai kegiatan itu daripada pengeluar dan mengarahkan pegawai-pegawainya di seluruh negeri supaya melakukan pemantauan selain meneliti dengan sebaiknya bagi memastikan baja yang dibekalkan kepada petani adalah tulen.
“Ini yang sedang berlaku sekarang .. baja berjenama telah ditiru dan diedar di kawasan-kawasan pertanian.
“Saya dimaklumkan mengenai perkara ini (baja tiruan) sejak dua bulan yang lalu. Baja berjenama ditiru, mungkin kegiatan ini sudah lama, tetapi syarikat itu (pengeluar baja) membuat aduan bahawa baja mereka ditiru,” katanya kepada Bernama di sini.
Idrus berkata, jabatannya memandang serius mengenai kegiatan tidak beretika itu dan mengingatkan petani supaya hanya membeli baja daripada wakil sah yang diperakui kerajaan. Idrus juga tidak menolak kemungkinan kegiatan pengedaran baja tiruan berkenaan juga berjaya menembusi jabatannya.
“Peringkat kita di jabatan mungkin ada yang terlepas satu atau dua (kes), tetapi ia masih diklasifikasikan sebagai kes terpencil dan boleh dikawal,” katanya. Katanya beliau telah mengarahkan pegawainya di peringkat akar umbi bertindak serta merta menangani kegiatan itu.
Idrus juga menasihatkan syarikat-syarikat pengeluar dan pembekal baja di negeri ini supaya meningkatkan kesedaran di kalangan pelanggan mereka mengenai pembelian baja tulen. – Bernama