AS bakal berdepan angka kematian ‘sangat mengerikan’ – Trump

WASHINGTON, 5 APRIL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran kepada rakyat negara ini untuk berdepan angka kematian ‘sangat mengerikan’ akibat wabak COVID-19 pada hari mendatang ketika jumlah korban di seluruh dunia kini melebihi 60,000 orang.

Jumlah kes jangkitan disahkan di AS melebihi 300,000 semalam, namun Eropah masih paling terkesan dengan pandemik berkenaan yang menyebabkan kira-kira separuh penduduk dunia berkurung dan ekonomi global menanggung kerugian besar.

Lebih 45,000 kematian global dicatatkan di Eropah dengan Britain melaporkan rekod baharu angka korban harian yang menjadikan jumlahnya mencecah 4,300, setakat ini.

Ketika ini, lebih 1.2 juta kes jangkitan disahkan di seluruh dunia dengan kira-kira 65,000 nyawa terkorban, menurut angka pengiraan Universiti John Hopkins.

Trump berkata, AS sedang memasuki ‘satu fasa masa yang sangat mengerikan’ dengan ‘angka benar-benar teruk’.

“Ini mungkin adalah minggu yang paling mencabar. Banyak kematian akan berlaku,” katanya di Rumah Putih.

Bagaimanapun pada masa sama, beliau menegaskan, AS tidak boleh kekal ‘tutup’ selama-lamanya.

“Mitigasi memberikan kesan tetapi sekali lagi, kita tidak akan memusnahkan negara kita.

“Saya sudah katakan dari permulaan lagi – penawar tidak boleh lebih teruk daripada masalah,” katanya. – AFP

Presiden AS Donald Trump bercakap ketika taklimat harian mengenai COVID-19 di Rumah Putih pada 4 April di Washington. – AFP